Laksana segera kawalan harga ubatan farmaseutikal

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pelaksanaan segera kawalan harga ke atas ubatan farmaseutikal.

Sepertimana yang dinyatakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam akhbar harian, “Rakyat Malaysia terpaksa membayar harga yang berlebihan bagi ubatan farmaseutikal kerana ketiadaan kawalan oleh kerajaan”.

"CAP telah menggesa kawalan harga ubatan farmaseutikal sejak bertahun lamanya tetapi malangnya ia tidak diendahkan," kata presidennya, SM Mohamed Idris dalam satu kenyataan.

Menurutnya, ubatan farmaseutikal merupakan bahan penting dan keperluan asas.

Katanya, kenaikan harga ubatan akan membebankan sumber kewangan kerajaan dan orang awam.

"Kini tiba masanya kawalan harga ubatan farmaseutikal dilaksanakan," ujarnya lagi.

Beliau berkata, Sistem Kawalan Harga Ubatan Kebangsaan boleh diperkenalkan yang akan mengekalkan harga ubatan dalam sektor awam dan swasta di peringkat yang munasabah, stabil dan mampu.

Tambahnya, penggunaan yang berkesan Senarai Ubatan Penting dan penggunaan meluas lebih banyak ubatan generik yang bertentangan kepada jenama paten boleh juga digalakkan dan disokong.

Katanya, ketiadaan kawalan harga telah membawa kepada keadaan sekarang di mana harga ubatan berlainan dari satu tempat ke satu tempat.

Menurutnya, harga ditetapkan berdasarkan jumlah pembelian yang meletakkan pengendali kecil di pihak yang tidak menguntungkan.

Beliau menambah, pengguna di seluruh negara terutamanya di kawasan luar bandar dan bandar sepatutnya mampu untuk mendapat ubatan yang mereka perlukan pada harga yang lebih mampu daripada harga yang diumumkan.

"Keadaan ekonomi semasa meletakkan bebanan ke atas pengguna dan kini tiba masanya bagi kawalan harga ke atas ubatan farmaseutikal dilaksanakan dengan segera," ujarnya. - HARAKAHDAILY 13/10/2016

Share on Myspace