Projek retikulasi selamatkan perbelanjaan JMB

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Projek baik pulih retikulasi (paip bawah tanah) di bawah Skim Baik Pulih Negeri Berkebajikan (Ceria) memberi impak positif bagi mengurangkan beban badan pengurusan bersama (JMB) menyelesaikan tunggakan bil air pangsapuri.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, selain menyelesaikan masalah kebocoran paip, Skim Permai Ceria turut diperkenalkan bagi membantu pertukaran meter air pukal kepada individu tercapai.

“Bil air lima pangsapuri di Dun Dengkil didapati terlampau tinggi, ada yang sepatutnya RM15,000 hingga RM20,000 tetapi terpaksa membayar sehingga RM40,000 sebulan.

“Jadi, mereka kerugian hampir RM15,00 sebulan,” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita ketika melawat perkembangan projek retikulasi di Pangsapuri Siantan, Taman Putra Perdana, Puchong.

Projek itu menelan belanja RM1.3 juta, manakala kos keseluruhan baik pulih membabitkan lima pangsapuri adalah RM4.02 juta dengan pembiayaan perkongsian 60-40 peratus antara kerajaan negeri dan penduduk.

Selain Pangsapuri Siantan, Pangsapuri Kenanga, Rosana Villa, Dahlia dan Ruvena Villa turut mendapat manfaat daripada projek itu.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata, Pangsapuri Siantan dijangka dapat menjimatkan RM250,000 setahun selepas projek itu siap, pada pertengahan November ini.

Pada masa sama, katanya, peruntukan itu membuktikan kerajaan negeri tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam membantu rakyat walaupun kawasan itu ditadbir Ahli Dewan Negeri (ADN) Barisan Nasional

“Kerajaan negeri tidak mengenal kawasan pembangkang mahupun kerajaan dan kita boleh bekerjasama dengan semua pihak,” katanya.

Kerajaan negeri sudah membelanjakan RM85 juta untuk kerja-kerja baik pulih pangsapuri di bawah Skim Ceria sejak diperkenalkan pada 2010.

Share on Myspace