Persempadanan: Selangor kemuka bantahan kepada SPR

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor mengemukakan bantahan terhadap cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Akhbar Menteri Besar Selangor, sebagaimana di bawah.

Hari ini, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor mengemukakan bantahan terhadap cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selangor.

Bantahan ini dilakukan bagi mempertahankan hak demokrasi pengundi Selangor berdasarkan kuasa Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, Bahagian II, Seksyen 5.

Antara bantahan Kerajaan Negeri Selangor adalah syor persempadanan semula SPR tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan, kegagalan keadilan asasi, kegagalan SPR memberikan maklumat penuh yang diperlukan, dan masa tidak mencukupi bagi Kerajaan Negeri Selangor untuk mengkaji impak hasil daripada persempadanan semula.

Menteri Besar menggesa SPR meneliti semula bantahan dikemukakan agar integriti SPR terjamin dan konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan Negeri Selangor juga bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan hak demokrasi pengundi Selangor.

Bantahan diserahkan Setiausaha Politik kepada Datuk Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei bagi pihak Menteri Besar di pejabat SPR Selangor, Kompleks PKNS, petang tadi. - HARAKAHDAILY 13/10/2016

Share on Myspace