Persempadanan semula Dun dalam Kota Bharu tidak perlu

SALMAH MAT HUSAIN Foto RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: Pelbagai pihak di sini menganggap kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya yang dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyembunyikan agenda pihak tertentu.

Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS Kota Bharu, Mortazi Ismail berkata persempadanan semula di Dun Bunut Payong, Tanjung Mas dan Kota Lama dianggap tidak perlu.

Katanya apa yang dilakukan SPR sekarang memindahkan Daerah Mengundi (DM) Wakaf Mek Zainab bertukar ke Kota Lama, DM Tanjung Chat pula ke Kota Lama.

“Persempadanan ini tidak perlu memandangkan tiada sebab ianya perlu berlaku sekarang,” ujarnya ketika ditemui ketika menemankan pengundi yang membuat bantahan tersebut di SPR Kelantan hari ini.

Pagi tadi orang ramai mula menyerbu pejabat SPR di Wisma Persekutuan bagi menyatakan bantahan. Tempoh bantahan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah berakhir 13 Oktober.

SPR mempamerkan syor kajian semula sehingga 14 Oktober di negeri-negeri lain. Ia dilaksanakan mengikut Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.

Pengarah Jentera Pilihanraya PAS Pasir Puteh, Drs Saipul Bahrin Mohamad juga berkata cadangan persempadanan itu tidak wajar dilakukan sekarang.

“Lagi pun pertambahan pengundi baru dalam tempoh hampir lapan tahun tidak begitu besar sehingga perkara itu perlu dilakukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/10/2016

Share on Myspace