Bajet 2017: Peruntukan untuk negeri perlu adil

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Sempena Bajet 2017 yang akan dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 21 Oktober nanti, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Selangor berharap agar kerajaan dapat  memastikan peruntukan yang disalurkan setiap negeri perlu adil.

Pengerusinya Datuk Seri Mohamad Badri Abdul Rahman berkata, bajet sebelum ini dilihat tidak seimbang dalam penyaluran peruntukan terutama membabitkan negeri-negeri di bawah pembangkang khususnya di Kelantan.

Jelasnya, kerajaan yang adil dalam pentadbirannya sepatutnya tidak menganaktirikan negeri-negeri dibawah pemerintahan pembangkang, ini bagi memastikan pembangunan negeri tersebut seimbang dengan negeri-negeri lain.

"Di negara ini hanya tiga buah negeri yang berada di bawah pembangkang dan ia tidak sepatutnya menjadi beban kepada kerajaan dalam menyalurkan peruntukan 2017 nanti.

"Walaupun berlainan parti, rakyat di negeri tersebut merupakan pengundi dan pembayar cukai, mereka juga berhak mendapat kemudahan sepertimana negeri-negeri lain," ujarnya kepada Harakahdaily.

Mengambil kira negeri Kelantan, tegas Badri, kerajaan sepatutnya memberikan tumpuan yang khusus misalnya dari segi pembangunan dilihat masih lagi seimbang dengan negeri-negeri jiran, namum dari sudut kemudahan perhubungan ia masih ketinggalan.

"Kita melihat setiap kali musim perayaan ataupun cuti-cuti umum, kesesakan jalan raya pasti berlaku dan perjalanan boleh meningkat kepada 18 jam berbanding hari biasa 6 jam untuk ke Kota Bharu dari Kuala Lumpur," katanya.

Jelasnya, isu ini perlu ditekan kerajaan pada Bajet 2017 nanti selain dari peruntukan-peruntukan lain.

Tambahnya, keengganan kerajaan dalam merealisasikan bajet kepada negeri-negeri tersebut, mengambarkan sifaf ketidakadilan kerajaan pusat dalam pentadbirannya.

"Hak negeri perlu diberikan dan bukannya dinafikan, Kerajaan Pusat tidak akan rugi jika perkara ini dilaksanakan kerana pasti rakyat akan berterima kasih atas keperihatinan kerajaan terhadap mereka," katanya. – HARAKAHDAILY 14/10/2016

Share on Myspace