Pemuda Tumpat desak MP sokong pindaan Akta 355

ASLANI M | .

TUMPAT: Menjelang persidangan parlimen minggu hadapan, Pemuda PAS, AMK dan Umno bergabung tenaga mendesak anggota parlimen kawasan itu menyokong Rang Undang-undang (RUU) pindaan Akta 355 bagi memperkasakan Mahkamah Syariah di negara ini.

Memorandum Anak Muda Tumpat Bersatu itu ditandatangani wakil Pemuda PAS Tumpat, AMK Tumpat, Pemuda Umno dan NGO.

Pemuda PAS diwakili pemangku ketua, Mohd Hushaimi Hussain, AMK diwakili Mohd Khairul Amin Ab Rahman dan Ketua Pemuda Umno Rosidi Hahmud Kamaruddin.

Manakala Mohd Nazri Abdullah mewakili Alternative Ride Club, Wan Mohd Sufian Wan Yusoff (Jabatan Amal Tumpat) dan Mohd Shafiq Abdul Rahman (Ikatan Generasi Y Tumpat).

Anggota parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar menang di kerusi parlimen tersebut atas nama PAS sejak empat penggal lepas, namun menyertai PKR tahun lepas.

Tindakannya itu menimbulkan kemarahan pengundi kalangan penyokong PAS dengan menganggap bekas Ketua Umno Tumpat tersebut sebagai mengkhianati amanah mereka.

RUU persendirian tersebut dijangka dibentang sekali lagi anggota parlimen Marang Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula Isnin depan.

RUU terbabit menjadi perkara keempat dalam senarai atur cara persidangan parlimen. – HARAKAHDAILY 14/10/2016

Share on Myspace