Isu Air: Utamakan kebajikan rakyat

HUZIR SULAIMAN | .

LATAS berharap isu pencemaran sungai di Selangor baru-baru ini tidak dipolitikkan mana-mana pihak.

Timbalan Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Pusat, Mohammad Hussain ketika ditemui berkata, "Kebajikan Rakyat khususnya pengguna air haruslah sentiasa diutamakan. LATAS berharap Kerajaan Negeri Selangor, Kerajaan Negeri Pahang, SPAN, Syarikat Air dan JAS Negeri-negeri dapat saling bekerjasama dalam satu pasukan untuk mengenalpasti punca pencemaran dan seterusnya memastikan bekalan air bersih dapat disalurkan sepanjang masa tanpa gangguan kepada pengguna di Negeri itu."

Ketika ditemui baru-baru ini, beliau melahirkan perasaan kurang selesa di atas percanggahan kenyataan media yang berlaku di antara wakil agensi dari negeri yang terlibat.

"Percanggahan pandangan adalah sesuatu yang biasa. Tetapi jika ia tidak diuruskan dengan baik, malah diwar-warkan secara terbuka, ia bakal mengundang persepsi yang tidak baik dari pengguna dan rakyat. Tidak kiralah apa pun percanggahan itu, gangguan bekalan air perlu diatasi segera. Itu keutamaan kita," ujar beliau kepada semua pihak yang terlibat agar tidak menunding jari, malah sedia duduk semeja dalam merungkai masalah gangguan bekalan air dengan seberapa segera kepada pengguna di negeri itu.

Latas juga berharap satu Pelan Tindakan Bersepadu Kecemasan Air dapat diwujudkan di peringkat nasional dan negeri agar seluruh sumber tenaga dan kemudahan logistik dari semua agensi kerajaan negeri dan persekutuan dapat digembeling secara bersama dan semaksima yang mungkin untuk memastikan kepentingan rakyat untuk menikmati bekalan air bersih yang berterusan tidak terjejas, malah gangguan terhadap bekalan air jika berlaku dapat diatasi dengan lebih cepat dan berkesan. Ia juga dapat memastikan kenyataan media yang dikeluarkan dapat dikeluarkan secara bersama dan sepusat agar tidak mengelirukan pengguna dan rakyat.

"Pengurusan Krisis, tak kira apa pun krisis khususnya yang melibatkan keperluan asasi pengguna, begitulah kaedahnya," ujar beliau.

Latas juga berharap, Perdana Menteri dapat mempertimbangkan peruntukan belanjawan yang lebih tinggi untuk menampung sumber tenaga yang lebih ramai khususnya anggota penguatkuasa agensi Kerajaan Persekutuan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) kerana jurang yang terlalu besar di antara mereka dengan premis dan lokasi yang terpaksa dipantau mereka di seluruh negara.

"Latas bersimpati dengan JAS kerana masalah ini. Latas akan mainkan peranan kami sebagai kumpulan pendesak," ujar beliau mengakhiri perbualan. – HARAKAHDAILY 14/10/2016

Share on Myspace