Pangsapuri: Peruntukan 2017 dijangka bertambah

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad membayangkan akan ada peruntukan pertambahan khusus untuk pangsapuri di Selangor dalam Belanjawan 2017.

Katanya, peruntukan itu dijangka meningkat dua kali ganda di samping beberapa projek baik pulih sedang berjalan mengikut jadual berdasarkan peruntukan RM10 juta bagi tahun 2016, lapor SelangorKini.
 
“Ada beberapa fokus kita untuk tahun hadapan dan dijangka akan ada peruntukan tambahan khusus untuk pangsapuri sebab kita melihat masalah dihadapi hari ini sudah berlarutan sejak sekian lama, bukan sejak lapan tahun kita (Pakatan) mentadbir.

“Peruntukan ini selain daripada Skim Ceria ia melibatkan kerja mengecat, membaiki lif, baik pulih bumbung dan jalan,” katanya.

Menurutnya lagi, masih terdapat jalan di kawasan pangsapuri yang belum diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) hingga memaksa badan pengurusan bersama (JMB) mengeluarkan perbelanjaan sendiri.

Secara keseluruhan kerajaan negeri sudah membelanjakan RM85 juta untuk kerja membaik pulih pangsapuri di bawah Skim Ceria sejak diperkenalkan pada 2010.

Share on Myspace