Walaupun PAS makin tua, tapi evergreen

IZWAN ABDUL HALIM | .

MELAKA: Islam dibawa PAS mencakupi kehidupan, pemerintahan hingga kepada kematian dan berterusan sampai hari kiamat.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, PAS bukan lawan Umno kerana soal rasuah dan ketelusan, tetapi mahu kesyumulan Islam dihayati.

"Apa sahaja kita buat, strategi kita, segalanya meletakkan Islam mendahului. Inilah rahsia PAS. Dulu PAS tiada apa-apa di Melaka, tetapi kerana Islam kita bertahan dan kuat.

"Dasar Islam kita tidak pernah dikompromikan. Kita mungkin boleh menang jika buang dasar ini, tapi akan terima buruknya kemudian," tegasnya pada ceramah sempena Ijtimak Tarbawi 5.0 di Balai Islam Pernu, Telok Mas, malam tadi.

Menurut beliau, elemen ilmu antara perkara yang menjadi kekuatan PAS yang didapati dari para ulamanya menerusi kuliah dan dakwah umum dilaksanakan.

Begitu juga katanya, dukungan teguh dari kalangan profesional kepada PAS yang terdiri daripada pelbagai bidang.

PAS ujarnya, turut terdiri dari aktivis dengan pelbagai keupayaan dan kesanggupan yang menarik banyak pihak kepada PAS.

"Dua entiti PAS kita berjaya masyarakatkan ialah Pasti dan Jabatan Amal. Dua-dua ini pemiliknya adalah Dewan Pemuda PAS. Kekuatan PAS juga kerana tarbiyah yang jadi agenda sama ada secara fardi atau jamaie.

"Kita orang PAS, bila bercakap biar kita buat (laksana). Ini yang kita tekan kepada semua ahli kita terutama pimpinan. Kerana lagi tinggi, lagi banyak gangguan syaitan padanya. Jadi perlukan tarbiyah," terangnya.

Menurut Ahli Parlimen Bukit Gantang itu lagi, janaan usrah menyebabkan banyak fungsi parti dapat digerakkan dan Pemuda PAS tidak mempunyai halangan besar melaksanakannya.

Majlis Syura Ulamak juga katanya, adalah kekuatan penting PAS selaku penjaga dasar agar parti sentiasa bergerak selari Islam berpandukan al-Quran, as-Sunnah, ijmak dan qiyas.

Malah PAS jelasnya, mempunyai ahli yang taat melaksanakan perintah dan arahan parti di mana perkara itu tiada dalam parti lain.

Menyentuh isu politik semasa, PAS menurutnya dihentam oleh lawan termasuk kalangan parti pembangkang lain.

Kini menjelang pilihan raya ujarnya, parti-parti lain mula dan mahu mendekati PAS mengajak untuk bersama kerana kekuatan yang ada serta pengalaman.

"Walaupun PAS makin tua, tapi evergreen. Dah jadi macam gadis sunti, semua pakat mahu dengan PAS. Tambah Umno, tak sempat cadang, dah sokong," sindirnya menyebab hadirin ketawa.

Tambah beliau lagi, PAN yang cuba memburuk-burukkan PAS kini tiada modal selain mengulang propaganda sama.

Sebagai gerakan siyasah dakwah, fokus PAS jelasnya, tidak hanya tertumpu pilihan raya tetapi juga pelbagai perjuangan lain meliputi kebaktian kepada manusia.

Tegas beliau, PAS tekad menggantikan Umno dan membawa rakyat dengan Islam. - HARAKAHDAILY 15/10/2016

Share on Myspace