Tidak ada jeling mata dengan sekularisme

IZWAN ABDUL HALIM | .

MELAKA: Para Pemuda bertanggungjawab sebagai generasi penerus dan meninggalkan legasi pewaris yang akan mencabut sekularisme dari umat Islam.

Ketua Ulamak PAS Negeri Melaka, Ustaz Zulkifli Ismail menegaskan, segala bentuk penyelewengan terhadap agama Allah yang mencengkam wajib dibetulkan hingga umat kembali ke jalan Islam.

"Tidak ada jeling mata dengan sekularisme. Ia mesti dikeluarkan dari umat ini hatta perlu mengorbankan darah dan nyawa kita.

"Jangan bermalas dan melepaskan batuk di tangga. Jangan tunggu melihat dari belakang, sedang penyelewengan mencengkam umat hingga semakin kukuh dan membesar serta mangsa semakin banyak.

"Para Pemuda tidak harus tunduk kepada kebatilan. Pemudalah yang akan membetulkan penyelewengan ini sama ada berjaya, atau ia disambung oleh keturunan kita," ujarnya pada Kuliah Maghrib sempena Ijtimak Tarbawi 5.0 Dewan Pemuda PAS Malaysia di Balai Islam Pernu, malam tadi.

Jelasnya, sekularisme adalah paradigma atau kerangka pemikiran dan manhaj yang bertujuan mewujudkan kehidupan tanpa agama dan terpisah hubungan dari Allah SWT.

Katanya, sekularisme boleh berjaya masuk dalam umat melalui nilai, peraturan hukum, aktiviti kehidupan dengan mengganti akan fikiran manusia menerusi teori, idealogi dan falsafah, serta saling melengkapi.

Sehubungan itu serunya, racun ini mesti dibuang dari umat Islam dengan mengembalikan umat kepada jalur Islam yang sebenar.

Katanya, usah terpengaruh dengan pengeliruan yang meletakkan Islam dan siyasah serta pemerintahan terasing dari agama ini.

Kerana menurutnya, kebatilan sentiasa sepakat untuk tidak mengizinkan kebenaran menguasai dan membawa umat kembali kepada 'waqiul hayah' iaitulah kehidupan Islam sebenar.

Untuk itu serunya, mestilah mencontohi para ulama dalam Harakah Islamiyah di seluruh dunia yang pernah berjuang menyelamatkan umat dari penyelewengan melanda.

Termasuk getusnya, Imam Hasan al-Banna yang telah memulakan gerakan di Mesir hingga tersebar ke seluruh pelusuk dunia dengan menjadikan tarbiyah sebagai persiapan ruhiyah terpenting.

Dalam konteks Malaysia ujar Ustaz Zulkifli, PAS adalah Hizbul Islami yang berada dijalur tersebut serta berhimpun padanya para alim ulama untuk melangsungkan cita-cita menegakkan khalifah dan daulah Islam. - HARAKAHDAILY 15/10/2016                       

Share on Myspace