Pentadbiran: Umno tak layak nak banding dengan PAS

IZWAN ABDUL HALIM | .

MELAKA: Tarbiyah telah meninggalkan kesan mendalam kepada PAS yang terlihat kepada integriti pemerintahan ditegakkannya, demikian tegas Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Kamaruddin Sidek.

Menurutnya, ketika parti-parti lain mendakwa mereka paling bersih, telus dan benar, PAS pula membuktikan dengan sebenar-benarnya.

Beliau merujuk pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan PAS termasuk pernah di Terengganu dan Kedah yang tidak pernah berhadapan kes rasuah, penyelewengan harta dan dana.

"Menunjukkan kita menjaga kerajaan secara bermaruah. Langsung tak layak Umno nak bandingkan mereka dengan PAS.

"Kadang-kadang nampak macam imam, macam malaikat. Tapi kadang-kadang nampak macam perompak. Boleh berubah rupa," bidasnya pada ceramah sempena Ijtimak Tarbawi 5.0 Dewan Pemuda PAS Malaysia di Balai Islam Pernu, Telok Mas, malam tadi.

Katanya, semua parti dalam BN terpalit dengan isu penyelewengan dan kehilangan dana seperti kes BMF, Perwaja, Maika Holding dan lain-lain.

Terangnya, BN akan terus mencipta sejarah buruk dan kemelut seumpama itu tidak akan selesai dengan menukar individu melainkan dengan perubahan sistem.

Tegas beliau, PAS tidak mengikut rentak parti lain yang membangkitkan isu dan pertikaian sekadar menukar individu.

PAS ujarnya, kini menjadi penyumbang senario politik dan menjadi pengajaran buat parti lain.

Beliau turut mengingatkan orang Melayu Islam agar tidak mudah terpesona dengan lakonan orang politik.

Ustaz Kamarudin menempelak ketua menteri yang tampil dengan pendekatan agamawan, tetapi menghentikan pinjaman dan biasiswa kepada anak Melaka di Timur Tengah. - HARAKAHDAILY 15/10/2016      

Share on Myspace