Ini anak muda yang cintai Islam di Malaysia

IZWAN ABDUL HALIM | .

MELAKA: Pemuda PAS mesti menjadi hamba yang dicintai Allah dengan mendamba kehidupan pasti di hari akhirat dan mendepani fitnah akhir zaman yang telah disebut oleh Nabi s.a.w.

Seruan itu diungkapkan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pada ceramah sempena Ijtimak Tarbawi 5.0 Dewan Pemuda PAS Malaysia di Balai Islam Pernu, malam tadi.

Ijtimak Tarbawi menurutnya, dianjurkan bukan sekadar berhimpun tetapi menggilap iman dengan bentukan Allah.

"Ini anak muda yang cintai Islam di Malaysia. Ramai dan tidak akan pupus. Akan ada tentera Allah silih berganti datang.

"Lebib penting cerita di luar iaitulah isi dan jiwa yang dibangunkan dari program ini. Antara caranya kita berhimpun tunduk kepada Allah.

"Rasa tidak puas sujud dan bersama untuk menuju Allah s.w.t. Kemudian kita bersyukur kerana diperkenalkan dengan PAS," ujarnya.

Akuinya, untuk berpegang kepada Islam di zaman ini sememangnya mencabar berbanding zaman Rasulullah SAW selain sukar dilihat kerana banyak pecahan jamaah.

Anutan dan amalan pelbagai ini menyukarkan umat mendapat kenalpasti amalan Islam yang sebenar kerana melihat dari ibu bapa, guru dan masyarakat.

Pada ketika ini ceritanya, wujudnya pelbagai jamaah menjadi kemelut kepada umat Islam mencari Islam sebenar.

"Dalam keadaan itu Allah mudahkan kita kenal PAS. Tanpa dinafikan jamaah lain benar, tetapi PAS punya kekuatan memimpin ummah ke jalan Allah," ujarnya menyeru rasa syukur itu.

Jelasnya lagi, PAS bukan dibina oleh batang tubuh indivifu, tetapi hasil dari keikhlasan para pejuang sejak dahulu dengan mendokong cita-cita Islam.

PAS berbanding parti lain katanya, memperjuangkan kemerdekaan agama ketika mana lainnya bermatlamat kepada pemerintahan sendiri tanah air.

Menurut Ustaz Nik Abduh, walaupum dalam politik hari ini PAS belum kuat dari segi jumlah kerusi Parlimen, tetapi perjuangan Islam PAS diakui dan diterima pihak lain.

Katanya, hari ini PAS menjadi pengaruh utama politik tanah air kerana Allah membantu usaha itu.

"Najib sendiri terpaksa akur dengan kehendak rakyat yang mahu perjuangan PAS ini diterima. Ini berita baik untuk ummah.

"Perubahan yang kita nak bawa mesti diterima rakyat bukan dibenci rakyat. Kita jadi tangga kepada rakyat menuju Putrajaya, bukan jadi anak tangga parti lain.

"Supaya rakyat berasa sejahtera dengan PAS dan menjadi kejayaan Islam," ujar Ahli Parlimen Pasir Mas yang mengajak berbangga menyertai PAS.

Untuk itu serunya, kekuatan siyasah ini mesti dibina dan dikuatkan dengan tarbiyah tanpa diabaikan antara keduanya.

Politik Islam juga jelasnya, menjadi kunci penyatuan dan kekuatan ummah yang terbina oleh usaha tarbiyah.

Kemampuan PAS menggembleng keselarasan tarbiyah dan politik menjadi kecemburuan pihak lain di mana ia mesti menjadi asas yang tidak diabaikan Pemuda PAS.

"Kita bukan perlu istiqamah lawan Umno, bukan istiqamah nak ke Putrajaya. Tapi kena juga istiqamah tazkiyatun nafs, kena istiqamah tarbiyah.

"Kita akan diuji bukan sahaja zaman muda, tetapi hingga ke mati. Ada yang rebah di tengah jalan, ada yang rebah hampir sampai Putrajaya," ujarnya menitip nasihat. - HARAKAHDAILY 15/10/2016

Share on Myspace