PAS kecam pengeboman orang awam di Yaman

TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | .

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengecam sekeras-kerasnya tragedi pengeboman yang berlaku di Sanaa, Yaman pada hari Sabtu 9 Oktober lepas. Serangan udara tersebut telah mengakibatkan lebih 140 orang terbunuh dan 525 cedera masyarakat awam ketika mereka berada di dewan komuniti bagi menghadiri majlis pengebumian bapa Menteri Dalam Negeri, Jalal al-Rowaishan.

Berdasarkan laporan berita, lebih kurang 20 mayat mangsa telah rentung hangus terbakar dan sebahagian yang lain kehilangan kaki dan terpaksa dirawat di tempat kejadian akibat runtuhan bangunan yang terbakar. Antara yang meninggal dunia adalah Datuk Bandar Sanaa, Abdel Qader Hilal.

PAS secara konsisten mengecam sebarang serangan yang melibatkan kematian orang awam, warga tua, golongan wanita, kanak-kanak, memusnahkan bangunan dan hasil tanaman, ianya sangat jelas bercanggah dengan Islam. Kembali kepada Islam adalah jalan keluar bagi menyelesaikan masalah di rantau Asia Barat.

PAS menyeru masyarakat dunia supaya menolak sebarang campur tangan luar atau memberi keizinan kepada kuasa asing untuk menyelesaikan konflik dalaman negara.

PAS menyeru agar semua pihak sama ada Arab dan bukan Arab, Sunni, Syiah dan Khawarij kembali ke meja rundingan dan menolak sebarang sentimen mazhab dan perkauman. Fanatik mazhab dan semangat kebangsaan yang diapi-apikan hanyalah menguntungkan Zionis-Israel bagi menjayakan agenda memporak-perandakan negara umat Islam dan melupakan perjuangan membebaskan Masjid al-Aqsa.

“Inilah Penyelesaian Kita”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
13 Muharam 1438 / 14 Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 15/10/2016

Share on Myspace