Ijtimak Tarbawi 5.0 cipta sejarah Pemuda PAS

IZWAN ABDUL HALIM | .

MELAKA: Himpunan Menyokong RUU Pindaan Akta 355 sempena Ijtimak Tarbawi 5.0 Dewan Pemuda PAS Malaysia mencipta sejarah apabila sekitar 10,000 hadir pada majlis tersebut.

Ia mengulangi kejayaan program tersebut yang diadakan kali pertama di Rusila, Marang, Terengganu pada tahun 2010.

Malah, penyertaan pada ijtimak kali kelima merupakan yang teramai dalam sejarah penganjurannya apabila menerima lebih 5,000 pendaftaran.

Ia dianggap luar biasa dalam situasi politik negara yang mensasarkan PAS dengan pelbagai imej negatif dan rekayasa untuk memburukkannya.

Keterujaan tersebut turut dikongsi veteran PAS Melaka, Mohd Diah Abdul, 79, yang secara rasmi menjadi ahli PAS sejak tahun 1972.

Menurutnya, di Melaka tidak pernah berlaku himpunan selama tiga hari seperti yang sedang berlangsung.

"Zaman saya, biasa himpunan satu malam sahaja. Hari ini majoriti orang muda. Veteran mungkin tak sampai satu peratus. Inilah potensi kepada PAS yang dibuktikan anak muda.

"Sebelum ini kita menerima pelbagai kata-kata yang menyakitkan hati. Tetapi dengan himpunan anak muda ini, kita buktikan mereka yang keluar PAS hanya serpihan sahaja.

"Paling penting, pengikut tidak keluar PAS mengikut mereka," ujarnya.

Perkara sama dikongsi sahabatnya, Abdul Ghani Ahmad, 82, yang menyifatkan kehadiran anak muda PAS ke ijtimak itu sebagai luar biasa.

"Belum pernah ada dan saya yakin masa depan PAS cerah. Saya nasihat anak muda terus berjuang. Tapi jangan nak rasa mudah. Perjuangan ni pasti diuji.

"Perjuangan menegakkan Islam yang PAS bawa tempuh susah. Kami nak makan sedulang pun tak cukup dulu. Dulu pun orang tak suka PAS, tapi sekarang dah berubah," ujarnya yang sangat terharu.

Sementara itu, Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Tan Sri Abdul Kadir Syeikh Fadzir memuji kesungguhan Pemuda PAS berhimpun seperti itu.

Katanya, semangat seperti itu tidak ada pada Umno yang jika membuat himpunan sedemikian pasti memerlukan jutaan ringgit dihabiskan.

PAS juga katanya, memainkan peranan penting untuk selamatkan Malaysia dan membawa kembali pentadbiran negara ke pangkal jalan. - HARAKAHDAILY 16/10/2016

Share on Myspace