Kukuhkan Kelantan, bukan cari cacat cela - Bersatu

ASLANI M | .

PASIR PUTEH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu pakatan pembangkang mengukuhkan kerajaan negeri yang ada sekarang dan bukannya mencari cacat cela di sana sini.

Ketua Penerangannya Datuk Kamaruddin Mohd Nor berkata kalau sengaja pembangkang lain mencari kelemahan kerajaan negeri tentunya ada.

“Kelemahan sedikit sebanyak kerajaan negeri memang tidak boleh hendak dinafikan kalau sengaja kita hendak cari.

“Sepatutnya kita tumpu perhatian bagi menggantikan urus tadbir negara di bawah BN yang begitu pincang sekarang kerana rakyat sedang berada dalam keadaan bahaya,” katanya selepas ceramah isu semasa di Cherang Ruku malam tadi.

Program itu dianjurkan Kelab Veteran Semerak yang menghimpunkan pemimpin PAS, Umno, Bersatu dan AKIM di satu pentas. Kelab itu dipengerusikan Awang Ismail.

Hadir sama Yang Dipertua PAS Ketereh, Wan Ismail Wan Jusoh, Timbalan Yang Dipertua PAS Pasir Puteh, Yuganu Yunus, Ketua Penerangan PAS kawasan Drs Zainuddin Awang Hamat, Setiausaha Agung AKIM Aslah Mamat, Penyelia Dun Semerak, Wan Hassan Wan Rahim dan bekas Adun Semerak Othman Wahab.

Bekas pemimpin PAS yang menyertai PAN kini dilihat berhempas pulas mencungkil kelemahan kerajaan negeri termasuk membongkarkan isu pembalakan di Gua Musang.

Kamaruddin juga berkata kerajaan Kelantan di bawah Ustaz Datuk Ahmad Yakob dianggap antara tokoh terbaik bagi meneruskan kepimpinan yang ditinggalkan Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Katanya Menteri Besar seorang pemimpin yang jujur dan amanah dalam melaksanakan tugasnya.

“Saya sudah lama mengenali terutamanya ketika berkhidmat Adun Semerak selama dua penggal. Beliau seorang yang jujur. Saya amat menghargai sikapnya selama ini,” katanya. - HARAKAHDAILY 16/10/2016

Share on Myspace