Ijtimak Tarbawi 5.0 antara titik lonjakan PAS

IZWAN ABDUL HALIM | .

MELAKA: Sejarah Islam sekali lagi tercipta di Melaka apabila lebih 5,000 anak muda berhimpun sempena Ijtimak Tarbawi 5.0 (IT5.0) Dewan Pemuda PAS Malaysia di Balai Islam Pernu, Telok Mas pada 14 hingga 16 Oktober.

Ia sekali gus menjadi petunjuk kepada titik lonjakan kebangkitan PAS di sebalik pelbagai hiruk pikuk politik dan perlecehan terhadap PAS ketika ini.

"Dalam pelbagai situasi melanda parti-parti politik kini, PAS pula membuktikan sedang maju bergerak meninggalkan krisis dan mengorak langkah jitu dalam agenda siyasahnya," demikian pandangan Ketua Pemuda PAS Negeri Melaka, Ustaz Ahmad Bilal Rahudin.

Menurutnya IT5.0 membuktikan PAS kekal relevan terutama kepada tonggak belakang negara iaitu kalangan anak muda.

Apatah lagi katanya, kejayaan ijtimak itu dilihat sebagai satu kebangkitan luar jangkaan kerana sebelum ini PAS di Melaka turut dilanda krisis.

Malah ujarnya, himpunan itu juga dijayakan dengan komitmen tenaga kerja hampir 80 peratus dari kalangan pemuda.

"Orang Melaka, dari kalangan ahli PAS, termasuk bukan ahli PAS seakan begitu teruja dengan penganjuran ini. Semangat timbul bila tahu seluruh Pemuda PAS akan bertumpu ke Melaka.

"Mereka bergotong-royong bina tandas sementara. Guna wang sendiri. Ada panjat menara pasang bendera PAS dan sekitar kawasan ini. Malah, yang memasak makanan itu adalah dari kalangan nelayan sekitar.

"Ada juga anak muda juruteknik atau berkepakaran dalam bidang tertentu hadir membantu urusan-urusan teknikal. Tidak ada sebarang upah kepada mereka," ujarnya terharu.

Selain itu menurutnya, pihak beliau turut menerima sumbangan berupa kewangan, cenderahati, penggunaan kenderaan dan pengangkutan serta lembu untuk jamuan.

Begitu juga terangnya, penduduk sekitar yang menawarkan rumah mereka sebagai penginapan serta mengambil peserta IT5.0 sebagai anak angkat, termasuk menyediakan kemudahan di surau dan markas.

"Kami hanya buat persiapan sekadarnya dengan kemampuan yang ada. Kerana kami menjangka kehadiran cuma dalam 3,000 peserta sahaja.

"Tiba-tiba saat akhir ramai yang mendaftar dan kami terpaksa menambah khemah. Apapun, sokongan dari orang Melaka dari kalangan ahli dan bukan ahli PAS telah menjayakan ijtimak ini.

"Ijtimak ini juga telah menyatukan orang Melaka dan dari reaksi saya dapat, mereka teruja dengan pengisian, munajat dan ukhuwah serta kemesraan setiap yang hadir," ujarnya menzahir kepuasan.

Beliau turut memuji kesungguhan para sahabatnya dari kalangan Pemuda PAS yang bertungkus lumus hingga ada tidak pulang ke rumah serta mengambil cuti untuk memberi tumpuan persiapan.

Kemeriahan ijtimak kali ini juga dilihat dari sudut santai keluarga antaranya tersedia permainan untuk kanak-kanak seperti kolam mandi, 'supa dupa' dan sewaan kereta serta motosikal elektronik.

Begitu juga gerai yang banyak iaitu 120 lot memberi kemudahan kepada pengunjung, walaupum sebenarnya penganjur terpaksa menolak banyak permohonan kerana kekurangan ruang.

Turut diadakan ruangan derma darah yang diurus langsung oleh pihak Hospital Melaka dengan sambutan menggalakkan. - HARAKAHDAILY 16/10/2016

Share on Myspace