Perubahan negara melalui politik matang dan sejahtera

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

BEBERAPA hari lepas kita dihidangkan dengan sebuah tulisan atau rencana panjang nukilan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Beliau mengulas mengenai politik antarabangsa, dunia Islam dan bentuk perubahan yang semestinya digerakkan di seluruh negara Islam apatah lagi Malaysia.

Perubahan yang dimaksudkan oleh beliau adalah jelas iaitu perubahan yang dapat mengembalikan umat Islam kepada kehidupan Islami yang sebenar di semua peringkat sama ada pemerintah mahupun rakyat, politik mahupun sosial bahkan hubungan diplomatik antara negara-negara umat Islam mahukan dunia antarabangsa. Umat Islam hari ini hidup dalam porak peranda dan hina dina samada disebabkan oleh kebodohan sendiri atau kelicikan musuh Islam menipu dan memperdaya mereka.

Tuan Guru Presiden menyebut mengenai perubahan-perubahan yang telah diusahakan sejak sekian lama oleh para pejuang politik dan ugama tetapi berakhir dengan kegagalan bahkan dalam beberapa situasi telah mencetuskan kejahatan yang lebih besar seperti peperangan, pembunuhan, pelarian dan bermacam kesengsaraan ke atas rakyat teramai. Itulah yang sedang mewarnai dunia Islam hari ini terutama di Timur Tengah.

Tuan Guru menyeru seluruh pejuang di medan perubahan kepada iktibar dan renungan yang lebih ikhlas, bijak dan terbuka demi kesejahteraan dan keselamatan umat Islam menghadapi tipu daya musuh Islam antarabangsa yang semakin meningkatkan usaha bagi memadamkan roh kebangkitan Islam yang semakin kuat di seluruh tanah air Islam.

Antara yang menarik perhatian adalah ingatan agar perjuangan Islam di Malaysia hendaklah mengambil tahu dan beriktibar dengan kemelut politik yang sedang berlaku di dunia Islam hari ini. Tidak boleh Malaysia dipisahkan dengan perubahan sendiri dan memejamkan mata daripada melihat kerangka besar perubahan di dunia Islam seluruhnya.

Malaysia adalah negara Islam tumpuan dunia. Buruk negara kita di sisi kita, buruk lagi dunia Islam di sisi pandang dunia. Perubahan baik yang bakal berlaku di negara kita bakal mendorong kepada perubahan yang lebih baik di negara-negara Islam yang lain. Malaysia kita, walaupun di sisi kita begitu lemah politik dan kestabilannya, tetapi masih tetap dihormati oleh negara-negara umat Islam yang lain. Ketika dunia Islam kehilangan contoh dan model, Malaysialah yang menjadi contoh dan model.

Adakah jika begitulah keadaannya, anda menjangkakan musuh Islam antarabangsa hanya bertumpu di Timur Tengah memporakperandakan negara-negara kecil Arab tanpa menoleh kepada Malaysia yang mungkin bakal menjadi pencetus perubahan Islami kepada dunia Islam?

Tulisan Tuan Guru Presiden mungkin menjadi sukar difahami oleh mereka yang masih berputar-putar di bulatan kecil politik Malaysia yang bertumpu kepada kemelut politik negara yang semakin teruk dan kegagalan pembangkang untuk bersatu menjatuhkan Umno BN. Jika iktibar itu hanyalah merujuk kepada sejarah perang puluhan tahun Umno vs PAS dan parti-parti lain, maka untuk memahami tulisan Tuan Guru Presiden dengan baik mungkin memerlukan sedikit pendetailan dan pencerahan lebih lagi.

Tetapi begitulah, umat Islam perlu dilatih dan didedahkan dengan sejarah panjang ribuan tahun tamadun dan kebangkitan dunia Islam yang pernah memimpin dunia menuju kehidupan yang lebih maju dan sejahtera. Hari ini, ketika kita menikmati kehidupan moden yang diinspirasikan oleh tamadun barat yang kufur, kita jangan lupa bahawa ia sedang membawa kita menuju kancah perang, perseteruan sesama manusia dan kehancuran hidup.

Tumpuan kita adalah islah dan perubahan secara bersama oleh umat Islam. Ia bukan hanya di negara kita, bahkan di seluruh negara umat Islam. Kebersamaan umat dalam memahami agama dan tuntutannya serta politik Islam dan hingar bingar yang bertali arus mengelilinginya adalah senjata ampuh untuk menolak kerosakan yang sering berlaku di persekitaran islah dan taghyir (perubahan) yang diusahakan oleh para pejuang agama sejak sekian lama tetapi masih belum menghasilkan buahnya yang diidamkan.

Kita perlukan dada yang lebih luas dan lapang. Kita harus menguasai persekitaran daripada semua sudut dan mengenali mara bahaya dan peluang-peluang yang wujud. Semua kita terjerat di dalam kehidupan umat yang masih jauh daripada Islam yang sebenar dan menyeluruh. Menghukum umat secara melulu dengan kesesatan adalah salah sebagaimana hanyut bersama ragam umat yang lalai juga adalah salah. Jiwa kita harus menjadi lebih besar dan gagah untuk memimpin perubahan yang diterima umat sebagai kemenangan dan kesejahteraan buat semua, bukan hanya buat kelompok yang menang dan berkuasa.

Islam mendahulukan hiwar atau dialog berbanding jidal atau debat. Hiwar akan menjaga keharmonian di dalam menemukan jawaban dengan saling menghormati antara dua pihak yang berbeza. Jidal pula bersifat kekalutan untuk memenangi yang secara mudah mendorong kepada provokasi dan kesengitan. Justeru di dalam al Quran, kebenaran untuk berdebat hendaklah disertakan dengan akhlak mulia menjaga tutur kata dan menghormati pihak lawan. Itulah maksud, 'billati hiya ahsan".

Jika Islam begitu memaksudkan perbincangan atau hiwar yang mengutamakan keharmonian dan kejelasan berbanding mujadalah atau debat yang lebih menagih kemenangan dalam berhujah, maka apatah lagilah peperangan dan mengangkat senjata. Ia bukan jalan pilihan Islam.

Peperangan adalah jalan terakhir demi menjaga kewujudan dan kehidupan. Diperkasakan 'qital fi sabilillah' atau perang di jalan Allah di dalam ilmu dan pengajaran Islam bukanlah untuk membina budaya penyelesaian melalui perang, tetapi untuk kesiapsiagaan umat berhadapan sunnah Allah yang menetapkan bahawa musuh ugama tidak akan redha melihat Islam memperolehi kemenangan walaupun dengan dakwah dan hiwar yang aman dan diterima secara sukarela. Dengan erti, apabila jalan perbincangan yang dicadangkan Islam dibakulsampahkan maka Islam membenarkan senjata diangkat menghadapi senjata yang sedia diangkat oleh musuh.

Sebagaimana Islam menolak perang, Islam juga menolak usaha dan provokasi yang membawa kepada peperangan. Peperangan akan merosakkan islah, pembaharuan dan perubahan yang diinspirasikan oleh agama Islam yang harmoni dan sejahtera. Peperangan juga akan memudahkan musuh memasukkan jarum memecah belahkan kesatuan umat Islam. Apabila pecah belah saf umat berlaku, maka kekalahan umat adalah di depan mata dan menjadi buah yang komang tanpa isi walaupun peperangan dilancarkan atas nama agama dan semangat jihad.

Itulah yang terjadi kepada 'Arab Spring' beberapa tahun lepas. Ia seperti mengulangi sejarah kebangkitan Islam di dunia Islam untuk kesekian kalinya yang berakhir dengan kegagalan dan kekecewaan. Maka ia harus menjadi iktibar, batu tanda dan sempadan buat umat Islam dan pejuangnya meneroka jalan yang lebih baik dan lebih mendekati sunnah Allah dan rasul-Nya.

Punca kegagalan juga disebabkan mudahnya menerima tawaran musuh untuk turut membantu. Apabila menang, musuh menuntut haknya dan ketakutan untuk kehilangan kuasa dan kemenangan akhirnya mendorong kita untuk menerima syarat yang menggadaikan prinsip yang menjadi asas kekuatan perjuangan. Inilah yang terpaksa dilalui oleh negara-negara Arab dan umat Islam yang lemah hari ini.

Seperti yang saya sebutkan di atas, perubahan yang dibawa mestilah dengan mendapat permuafakatan umat yang ramai dan mestilah juga dilihat sebagai satu jaminan kehidupan yang lebih baik dan sejahtera buat mereka. Kemudian perubahan itu mestilah berusaha mengelakkan berlaki kesengitan dan ketegangan sesama sendiri. Utamakan kefahaman melalui hiwar dan hujah yang baik. Kemudian, pergantungan kepada kekuatan kesatuan umat Islam selepas Allah pastinya akan membebaskan kita daripada terlalu mengharapkan kerjasama pihak luar yang mengintai-ngintai peluang untuk membantutkan kemenangan Islam yang sebenar.

Perselisihan mazhab di dalam umat Islam mestilah dielakkan. Runtunkan ia kepada medan ilmiah yang lebih luas. Jangan campurkannya di medan siasah sehingga menjejaskan penyelesaian politik yang lebih berkesan dan memudahkan buahnya dicuri oleh pihak musuh.

Peperangan sesama umat Islam, walaupun dengan mazhab Syiah yang paling jauh daripada Ahli Sunnah mestilah dielakkan. Ia adalah pertumpahan darah yang diulang-ulang dan takkan menemukan noktahnya selain keseronokan musuh melihat umat Islam dilagakan sesama sendiri. Berperanglah seratus tahun. Hasilnya adalah ratusan ribu nyawa dan darah sesama umat Islam melayang dan mengalir.

PAS memahami ini dengan baik. Kefahaman seperti ini mestilah dikongsikan bersama umat Islam di Malaysia. Ia tanggungjawab semua umat Islam sama ada pembangkang atau kerajaan. Sama ada kerajaan berubah dengan kehendak dan pilihan rakyat atau sebaliknya, perubahan Islami mestilah digerakkan sepanjang masa demi umat Islam Malaysia yang lebih baik dan berteladan besar untuk umat Islam di serata dunia. - HARAKAHDAILY 17/10/2016

Artikel adalah untuk kolum 'Terang Rembulan' akhbar Harakah.

Share on Myspace