Pemimpin PAS bukan selebriti dan kejar ‘like’

IZWAN ABDUL HALIM | .

MELAKA: Pemimpin PAS bukan hidup dengan dunia selebriti dan mengejar ‘Like’, sebaliknya berjuang untuk memahamkan ummah supaya sedar dengan Islam, demikian jelas Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan peserta berhubung kajian sosial menunjukkan akaun sosial para pemimpin PAS kurang menerima ‘Like’ berbanding pemimpin parti lain.

Terangnya, ada bermacam cara untuk menarik sokongan seperti yang berlaku dalam dunia selebriti, namun pemimpin PAS tidak begitu.

“Orang nak faham kita, (mereka) kecam dulu, kecam habis-habisan. Negeri Kelantan dah 26 tahun, tak habis lagi kena kecam. Bukan kerana apa pun,  kerana dia miskin, orang miskin pun kena kecam, bukan kerana dia buat benda jahat. Tapi kerana dia cuba fahamkan rakyat isu-isu besar.

“Isu besar ini walaupun orang lain faham juga, tapi ia tiada penghujung. Kita (PAS) ada hujung dia, ada penyelesaian yang membawa kebahagian dunia dan akhirat,” ujarnya pada sesi dialog sempena Ijtimak Tarbawi 5.0 Dewan Pemuda PAS Malaysia di Balai Islam Pernu, di sini petang semalam.

Beliau mengemukakan contoh dalam politik apabila orang bercakap mengenai ekonomi Malaysia yang teruk di mana PAS mengemukakan ‘Dokumen Hijau’ dan parti lain mengutarakan saranan dikatakan lebih terkehadapan.

Namun jelasnya, PAS hendak yakinkan rakyat Malaysia terutama orang Islam yang ada di depan mereka Quran dan Hadis bahawa penyelesaian pihak lain itu tidak habis dan berkesudahan.

Ustaz Nik Abduh mengemukakan isu rasuah sebagai rujukan di mana ia dilawan dan rakyat marah pemimpin rasuah serta merasa amat benci.

Pun begitu katanya, meniru pendekatan Barat yang diambil dalam menangani rasuah tidak menyelesaikan kerana mereka bertindak menghancurkan rasuah, tetapi membiar dan menghidupkan riba.

“Apa jadi kepada dunia Barat? Apakah kita jangka tamadunnya tidak akan hancur? Baca ekonomi Barat hari ini, kita akan tengok ekonomi Barat satu demi satu beradapan kehancuran walaupun mereka penuh integriti menentang rasuah. Kerana apa? Kerana penyelesaian mereka, mereka bina dengan tangan kanan, mereka runtuhkan dengan tangan kiri.

“Macam mereka bercakap hak-hak (asasi) wanita, buat undang-undang, jaga (segala kepentingan) wanita, kita nampak Barat ini hebat, lebih hebat dari (perjuangan) Muslimat. Tapi cuba tengok Barat selesaikan, dia hentam rogol, tapi dia hidupkan zina,” ujarnya membuka pencerahan.

Oleh itu tegas Ustaz Nik Abduh, PAS berusaha memahamkan rakyat supaya tidak mengikut penyelesaian Barat yang nampak manis tetapi hakikatnya merosakkan.

Malah, beliau turut menyedarkan para peserta yang khusyuk mendengar betapa cabaran kepada PAS dapat disaksikan sepertimana terkini Usul RUU Pindaan Akta 355 ditentang oleh pakatan agama-agama lain.

Oleh itu katanya, perlu masa yang panjang untuk fahamkan orang lain mengenai usaha PAS bawa di mana tidak bermaksud seperti dunia selebriti atau untuk mendapat ‘Like’.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut mengajak peserta bersyukur kerana dipilih Allah untuk faham PAS lebih awal, sedangkan ada mereka yang dilewat usia baru menyertai PAS di mana sebelumnya juga pernah melontarkan bermacam-macam kritikan pada PAS sebelum memahaminya.

Dalam ucapan yang mengalir penuh nasihat itu, Ustaz Nik Abduh mengingatkan supaya sentiasa berusaha menjalani hidup dan perjuangan mendekati hampir setiap perkara dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.

Juga serunya, supaya bermuhasabah agar melaksanakan amalan ahli syurga serta dipermudahkan dan menjauhi amalan ahli neraka. – HARAKAHDAILY 17/10/2016

Share on Myspace