Alfun Mabruk Ijtimak Tarbawi 5.0

HARAKAHDAILY | .

 Alfun Mabruk kepada Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia di atas kejayaan menganjurkan Ijtimak Tarbawi 5.0 pada kali ini. Begitu juga Dewan Pemuda PAS Melaka yang telah menjadi tuan rumah dengan persediaan yang cukup cemerlang. Bumi Melaka melakar sejarah terpilih untuk menjadi tapak himpunan anak muda yang cintakan perjuangan Islam. Roh bermulanya kedatangan Islam serta perjalanan kerja jihad Amal Islaminya yang tersirat dalam sejarah Melayu Melaka mampu dicoretkan semula zaman keemasannya.

Ijtimak Tarbawi 5.0 pada kali ini melabuhkan tirainya. Ribuan ahli-ahli PAS dalam kalangan anak muda yang menyertai ijtimak kali ini tersenyum puas. Slot-slot pengisian tarbiyah serta bual bicara yang bukan sahaja sarat dengan ilmu-ilmu haraki namun termasuklah dengan perkongsian pengalaman, keterikatan jalinan ukhuwah fillah apatah lagi amanat-amanat yang disampaikan sama ada secara langsung atau tidak.

Ijtimak Tarbawi 5.0 kali ini juga seperti tahun-tahun sebelum ini menggamit pemuda seluruh negara hadir sebagai peserta walau terpaksa menanggung kos yang agak besar. Jiwa yang sememangnya telah disemai agar menjadi "abna'ul harakah" bisa mampu mengharungi semua itu demi menebus janji istiqamah dalam perjuangan Islam. Kehadiran yang luar jangkaan oleh peserta di samping tayangan siaran langsung yang disaksikan oleh anak muda pencinta agama seluruh dunia langit terbuka hari ini sudah pasti tidak mampu dihitung dengan angka untuk menjumlahkannya.

Setiap kali Ijtimak diadakan, anak-anak muda ternanti-nanti kehadiran Ayahanda Tuan Guru Presiden untuk mencurahkan ilmu tafsir dan harakinya ke dada peserta. Tahun ini agak "suspens" apabila kerisauan kita akan perkembangan kesihatan Tuan Guru. Namun 2 kalimah yang rata-rata disebut oleh peserta apabila Tuan Guru muncul pada slot tafsir surah Al-Kahfi iaitu "alhamdulillah" apabila melihat Tuan Guru hadir dan "puas" apabila Tuan Guru mengakhirkan ucapannya. Terpapar wajah ceria dan gembira Tuan Guru ketika bersama dalam Ijtimak Syabab kali ini.

Pemuda-pemuda PAS Selangor yang meliputi 22 kawasan saya kira telah mengambil bahagian dengan baik dalam setiap pengisian yang disampaikan. Tujuan ilmu itu dicari serta dituntut adalah untuk diamalkan. Berbekalkan tempoh 3 hari padat itu, seluruh pemuda melangkah pulang ke kawasan masing-masing dengan keazaman yang tinggi menderap jalan istiqamah.

Justeru, bagi pihak Dewan Pemuda PAS Selangor sekali lagi merakamkan jutaan penghargaan pada YB KP dan seluruh saf kepimpinan DPPM, Akademi Tarbiyah, DPPN Melaka, anggota Amal yang bertugas dan seluruh ahli pemuda. Sehingga bertemu lagi pada Himpunan Fastaqim 2.0 dan Ijtimak Tarbawi 6.0.

"Menderap Jalan Istiqamah"

USTAZ HANAFI ZULKIFLI
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor
16 Muharam 1438 | 17 Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 17/10/2016

Share on Myspace