Mesyuarat ICFM OIC perlu bincang segera isu Rohingya

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

Majlis Petundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa agenda membincangkan isu etnik Rohingya tertindas di Myanmar dimasukkan di dalam sesi ke-43 Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (ICFM) di Uzbekistan bermula esok (Selasa).

ICFM merupakan mesyuarat tahunan Menteri-menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk membincangkan kemajuan dalam pelaksanaan keputusan dan resolusi yang diterima pakai pada sidang kemuncak dan Mesyuarat Majlis Menteri-menteri Luar sebelumnya.

Oleh kerana mesyuarat tersebut di Tashkent bakal membincangkan isu-isu politik, ekonomi dan sosiobudaya yang melibatkan ummah, maka isu yang sedemikian lama berkaitan dengan nasib etnik Rohingya sepatutnya dimasukkan dalam agenda mesyuarat.

OIC setakat ini masih dilihat lemah untuk menangani isu Rohingya yang sudah berlanjutan hampir 4 dekad.

Kami menggesa tindakan yang jelas dan mekanisme yang efektif untuk menyelesaikan isu tersebut dibincangkan di dalam mesyuarat kali ini. Penangguhan penyelesaian yang tuntas akan menambahkan penderitaan kaum Rohingya dan pihak OIC akan dilihat gagal membela nasib golongan mustadhafin ini.

Keadaan krisis terbaru di daerah Maungdaw yang sangat sedikit mendapat liputan media amat merisaukan kerana operasi militari Myanmar kini sewenang-wenangnya menyerang dan menembak orang awam di perkampungan daerah tersebut.

Setakat ini ramai yang terbunuh akibat operasi tentera termasuk dalam kalangan penganut Buddhis militan yang mengambil tindakan di luar undang-undang. Mereka melancarkan serangan membuta tuli sehingga orang awam terdedah kepada pembunuhan tanpa perikemanusiaan.

Keadaan berpotensi bertambah buruk kerana ratusan ribu penduduk daerah Myanmar adalah orang Rohingya dan operasi genosid kini sedang berlaku di banyak perkampungan.

Akibat yang jelas ialah akan bertambah pelarian Rohingya yang terpaksa menyelamatkan nyawa mereka ke negara jiran seperti Bangladesh, Malaysia, Thailand dan Indonesia.

Keresahan warga Rohingya yang kini berada di luar Myanmar sangat jelas apabila mereka mula memaparkan visual pembakaran dan operasi militari yang menahan, menyiksa dan membunuh orang awam di daerah Maungdaw melalui media sosial. Mereka menuntut dunia segera bertindak melindungi kaum Rohingya yang tertindas. - HARAKAHDAILY 17/10/2016

Penulis ialah Presiden Mapim.

Share on Myspace