Pelajar buli wajar digantung sekolah

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Pakar bidang pendidikan menyifatkan tadbir urus lemah dan sikap menyembunyikan salah laku serta disiplin buruk menjadi punca mengundang kejadian buli.

Dr Zulkeflee Yaacob dari Universiti Pendidikan Sultan Idris berkata kelakuan ponteng kelas, sekolah, ganggu gugat rakan dan amalan keluar masuk kelas tanpa kawalan guru sebagai petanda awal gangguan sikap seseorang pelajar.

Katanya, kes buli perlu dimasukkan dalam peraturan disiplin sekolah dan dan perlu tindakan tegas pihak Kementerian Pendidikan.

“Cadangan menteri mempertimbangkan hukuman gantung sekolah selama setahun sebagai alternatif hukuman buang sekolah suatu makanisme cegah buli wajar disokong masyarakat,” katanya di sini.

Semalam Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dilapor mencadangkan pelajar yang menjadi pembuli digantung sekolah setahun.

Selain itu akan dilibatkan dengan kerja-kerja kebajikan atau dimasukkan ke pusat pemulihan dalam tempoh berkenaan.

Pada April lepas seorang pelajar tingkatan empat di Pengkalan Chepa disiasat berikutan dipercayai terbabit membuli pelajar tingkatan tiga sehingga tidak sedarkan diri.

Pada kejadian itu mangsa dilapor ditendang dua kali di leher sehingga menyebabkan retak tulang leher dan mengalami kebas di tangan.

Dr Zulkeflee berkata kementerian perlu mencari alternatif bentuk hukuman terhadap pembuli yang melakukan kesalahan serius hingga mendatang kecederaan kekal dan kehilangan nyawa.

“Tindakan buang sekolah pilihan terakhir tetapi proses gantung sekolah maksimum setahun sebagai pengajaran dan teladan kepada pelajar.

“Perkara ini tidak dilihat sebagai hukuman semata-mata kerana proses pendidikan masih berlaku kerana mereka dilibatkan kerja sosial dan kaunseling serta kelas pemulihan akhlak dikawal selia pihak berkaitan,” ujarnya.

Malah katanya pembuli tegar dicatat dalam rekod berhenti sekolah sebagai amaran agar menjauhi anasir buli di sekolah. – HARAKAHDAILY 18/10/2016

Share on Myspace