Marah sungguh LKS pada Mursyidul Am PAS

IZWAN ABDUL HALIM | .

BERANG sungguh nampaknya Penasihat DAP, Lim Kit Siang terhadap al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hashim Jasin yang bertegas mengenai hubungan PAS dengan DAP di mana tidak mungkin bertaut.

Pendirian Tuan Guru Hashim bukan kapasiti peribadi, tetapi adalah keputusan hukum hakam yang telah disepakati Majlis Syura Ulamak PAS sejak tahun lalu sekali gus mengikat kepatuhan pergerakan politik PAS terhadapnya.

Seluruh anggota PAS akur kecuali mereka yang khianat dan gagal melihat ia sebagai ketetapan syarak setelah DAP terlebih dahulu memungkiri janji, melanggar hak serta campur tangan terhadap usaha PAS untuk menegakkan Islam.

Terbawa-bawa watak ‘Abang Besar’ itulah menyebabkan Kit Siang angkuh menempelak Tuan Guru Hashim dengan ungkapan “bercakap cerita karut” dan menganggap al-Mursyidul Am PAS yang baharu itu tidak mengetahui hal sebenar.

Nampak sangat, Kit Siang sebenarnya tidak mengenali Tuan Guru Hashim yang kefaqihan ilmu dari hafalan serta pemahamannya pada banyak kitab muktabar dan kecerdasan politik serta berpengalaman lama sebagai anggota Majlis Syura Ulamak PAS.

Kronologi ini mengimbas kembali kesungguhan, perancangan di sebalik dan secara langsung DAP terhadap PAS yang menggambarkan sikap dan tujuan sebenar parti itu:

9 OGOS 2016 - Ketua Pemuda DAP, Wong Kah Woh menyarankan Pakatan Harapan tidak mengadakan lagi perbincangan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi dengan PAS untuk mana-mana isu. Malah, beliau mendakwa PAS adalah punca kepada pertandingan tiga penjuru di PRN Sarawak serta PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

9 JUN 2016 - Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan undi yang diberikan kepada calon PAS pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah satu pembaziran.

22 MEI 2016 - Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming menyifatkan PAS sebagai parti angkuh kerana tetap mahu bertanding pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Beliau juga membidas Presiden PAS sebagai mempamerkan kedegilan.

5 MEI 2016 – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng melabelkan Presiden PAS sebagai anti-bukan Islam dan pelampau kerana menyatakan bahawa Ketua Menteri Sarawak mesti dipegang oleh orang Islam.

13 MAC 2016 – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa PAS akan mengurung kaum wanita jika sekiranya memerintah. Skeptikalnya itu sebagai membidas saranan Ketua Penerangan Ulamak PAS Pusat supaya institusi keluarga dipulihkan dengan memberi ruang golongan isteri melaksanakan fungsinya sebagai isteri dan ibu dengan lebih baik.

11 MAC 2016 – Setiausaha Publisiti Wanita DAP, Kasthuri Patto menyelar cadangan Adun Tawang (Kelantan), Dato’ Hassan Mahamood supaya hukuman sebat di khalayak ramai ke atas kes zina, khalwat dan minum arak sebagai keterlaluan dan menyimpang daripada konsep keadilan.

26 OKTOBER 2015 – Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP mengeluarkan resolusi mengesahkan pembentukan Pakatan Harapan antara DAP, PKR dan PAN tanpa penyertaan PAS.

27 SEPTEMBER 2015 – Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong berkata PAS tidak akan berupaya tanpa golongan progresif. Beliau juga menyatakan tidak perlu bimbang Pakatan Harapan dibentuk tanpa PAS. Sebaliknya beliau mendakwa PAS sukar menang di kerusi Dun dan Parlimen terutama sokongan pengundi Melayu bandar dan bukan Melayu.

23 SEPTEMBER 2015 – Pemimpin DAP, Dr Ong Kian Ming menegaskan bahawa PAN adalah Parti Islam baharu menggantikan PAS dan akan meraih undi Melayu bagi pihak DAP dan PKR. Katanya, Pakatan Harapan tiada masalah tanpa penglibatan PAS sebaliknya mendakwa kerajaan negeri yang ditadbir PAS sebagai tidak cekap serta mungkin kalah di Kelantan.

12 JUN 2015 – Setiausaha PAS Pulau Pinang, Mohd Fadzil Kemi dipecat daripada perkhidmatan sebagai Pegawai Penerangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP.

11 JUN 2015 – Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa Pakatan Rakyat sudah tidak wujud kerana kerjasama PAS dan DAP sudah putus berikutan keputusan Muktamar Agung PAS 2015.

25 MEI 2015 – Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP bersedia menghadapi sebarang kemungkinan terhadap Pakatan Rakyat sekiranya Dato’ Seri Abdul Hadi Awang kekal sebagai Presiden PAS pada pemilihan Muktamar PAS Pusat 2015.

28 APRIL 2015 – Ahli Parlimen DAP Serdang (Selangor), Dr Ong Kian Ming mendakwa Adun PAS Seri Serdang, Noor Hanim Ismail adalah punca Thirst: We Are Stardust dibatalkan setelah Adun itu membantahnya.

30 MAC 2015 – DAP dan PKR Sabah mengisytiharkan putus kerjasama dengan PAS kerana PAS hendak melaksanakan hudud sekali gus telah menyeleweng dari matlamat asalnya.

27 MAC 2015 – DAP Sarawak umum keluar dari Pakatan Rakyat kerana PAS adalah liabiliti di mana mahu melaksanakan hudud di Malaysia.

22 MAC 2015 – Penasihat DAP, Lim Kit Siang membidas al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din sebagai mementingkan hudud melebihi kerjasama Pakatan Rakyat.

20 MAC 2015 – DAP membantah Kerajaan PAS Kelantan meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 pada Sidang Dun Kelantan. Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang secara terbuka menyatakan DAP amat marah dan merasa dikhianati pemimpin PAS.

19 MAC 2015 – Ketua Pemuda DAP, Teo Kok Seong mengumumkan pembekuan hubungan dengan Dewan Pemuda PAS Malaysia termasuk negeri-negeri. Keputusan itu kerana Kerajaan PAS Kelantan meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) Pindaan 2015. Ahli Parlimen DAP Jelutong (Pulau Pinang), Jeff Ooi Chuan Aun pula menggesa PKR dan DAP menggantung hubungan dengan PAS.

27 FEBRUARI 2015 – Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong mendakwa pemenjaraan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan rundingan hudud merupakan perpaduan antara PAS dengan Umno yang bertujuan menghalang dan menyebabkan perpecahan Pakatan Rakyat.

Dengan senarai ini, ia memadai menjadi bukti dan penjelasan terhadap agenda dan pihak sebenar yang telah menjadi punca negatif berkaitan hubungan PAS dengan DAP. Lim Kit Siang dilihat cuba memesongkan tuduhan itu dengan membidas Tuan Guru Hashim Jasin. Mustahil beliau lupa, tapi hakikatnya, Kit Siang sedang gusar menghitung tarikh luputnya. – HARAKAHDAILY 18/10/2016

Share on Myspace