Mahkamah arah Papagomo bayar peguam RM300,000

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Blogger yang sebelum ini dianggap mesra Umno dikenali “Papagomo” atau nama sebenar Wan Muhammad Azri Wan Deris diarah membayar gantirugi sebanyak RM300,000 kepada peguam terkenal Datuk Sukri Mohamed.

Selain itu Mahkamah Tinggi Kota Bharu juga mengarahkan blogger terbabit membayar kos mahkamah sebanyak RM30,000.

Perintah tersebut dikeluarkan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya Kota Bharu, Mohamad Rosli Mohamed Nawi setelah perbicaraan taksiran gantirugi dijalankan di sini hari ini.

Mahkamah tersebut sebelum ini mendapati Wan Muhammad Azri bersalah kerana menulis dan menyebarkan artikel dianggap fitnah terhadap Sukri.

Pada artikel terbabit Wan Muhammad Azri menuduh Sukri menyeleweng sejumlah wang yang dikaitkan dengan Istana Kelantan dan Yayasan Sultan Kelantan.

Peguam Hisham Fauzi mewakili Sukri berkata mahkamah mendapati artikel tersebut merupakan fitnah terhadap Sukri yang juga Ahli Majlis Perajaan Negeri Kelantan.

Mahkamah Tinggi Malaya Kota Bharu sebelum ini menolak tuntutan Sukri atas alasan tiada bukti jelas mengenai pemilikan blog “Papagomo”.

Bagaimanapun Mahkamah Rayuan membenar tuntutan Sukri setelah dibawa ke Mahkamah Persekutuan, Putrajaya pada Jun lepas.

Pada kes tersebut Wan Muhammad Azri diwakili peguam Hanif Idris. – HARAKAHDAILY 18/10/2016

Share on Myspace