Sambutan Pangsapuri M'sia Harmoni Selangorku 2016

HARAKAHDAILY | .

Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor menganjurkan Sambutan Pangsapuri Malaysia Harmoni Selangorku 2016.

Ianya merupakan program kerjasama bersama pihak Pesuruhjaya Bangunan (COB) dan Badan Pengurusan Bersama (JMB)/Perbadanan Pengurusan (MC).

Objektif utama Sambutan Pangsapuri Malaysia Harmoni Selangorku 2016 adalah seperti berikut:

I. Memberi kesedaran, penghargaan, memperingati dan meraikan JMB/MC di atas tanggungjawab dan pengorbanan menguruskan komuniti dan pangsapuri;
II. Menjalinkan kerjasama baik di antara JMB/MC bersama badan kerajaan dan badan bukan kerajaan; dan
III. Mewujudkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, keilmuan dan pembangunan modal insan di kalangan komuniti.

Antara program-program yang terlibat dalam sambutan ini:

1. Majlis Apresiasi Wanita Pangsapuri

Program ini disempurnakan oleh Datin Seri Shamshida Taharin, isteri kepada Datuk Menteri Besar Selangor pada 15 Oktober 2016 di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Shah Alam. Turut bersamaa, isteri Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datin Salasiah Zakaria.

Ianya turut dihadiri oleh 206 Ahli Jawatankuasa JMB/MC daripada 74 pangsapuri. Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan sesi bicara santai ”Stress: Ibu, Isteri, Anak, Pekerja, AJK Mampukah Aku oleh pakar motivasi, Dr. Dini Rahiah Kadir dan persembahan Datuk Siti Nurhaliza.

Program ini khas untuk wanita sahaja yang menjadi ahli jawatankuasa JMB/MC sebagai penghargaan kepada mereka.

2. Karnival Komuniti CERIA JMB/MC

Karnival ini akan diadakan pada 22 sehingga 23 Oktober 2016 bertempat di Pangsapuri Prima Cempaka, Kajang. Karnival ini menggabungkan lebih 50 JMB/MC di dalam kawasan pentadbiran Kajang.

Pelbagai aktiviti akan diadakan untuk semua peringkat umur seperti larian komuniti, senaman pagi, pertandingan memasak, gubahan hantaran, pertandingan mewarna. Karnival ini bakal diserikan dengan kehadiran maskot.

Program ini turut dimeriahkan lagi dengan sembang santai pangsapuri bersama selebriti Heliza Helmi, PU Rahmat, Hafiz Hamidun, DJ Sufian Amrin, Ustaz Datuk Dr Izhar Ariff dan Ustaz Syed Kadir Al Jofree. Acara lain yang mewarnai program ini ialah pemeriksaan kesihatan percuma, pameran daripada 10 buah agensi kerajaan dan swasta, gerai jualan serta permainan kanak-kanak.

3. Majlis Sambutan Pangsapuri Malaysia Harmoni Selangorku 2016

Majlis kemuncak Sambutan Pangsapuri Malaysia Harmoni Selangorku 2016 berakhir dengan program Perhimpunan Perdana JMB/MC pada 5 November 2016 bertempat di Dewan Raja Muda Musa Kompleks Belia & Kebudayaan Negeri Selangor.

Program ini dijangka dapat menghimpunkan sebanyak 164 JMB/MC yang dianggarkan berjumlah 820 orang. JMB/MC juga akan diberi pendedahan melalui sesi perkongsian ilmu dan pengalaman daripada JMB/MC terbaik. Pemenang anugerah pembangunan komuniti seperti K-INOVASI [Komuniti Inovasi], K-STAR [Komuniti Bestari] & Penjimatan Air Pangsapuri juga akan diumumkan semasa majlis tersebut. Hadiah-hadiah yang ditawarkan mengikut kategori adalah seperti berikut:

ANUGERAH K-INOVASI [KOMUNITI INOVASI]
Tempat Pertama: RM15,000.00
Tempat Kedua: RM10,000.00
Tempat Ketiga: RM5,000.00
Saguhati COB (Bagi Juara): RM5,000.00

ANUGERAH K-STAR [KOMUNITI BESTARI]
Kos Rendah / Kos Sederhana Rendah
Tempat Pertama: RM15,000.00 / RM12,000.00
Tempat Kedua: RM13,000.00 / RM10,000.00
Tempat Ketiga: RM10,000.00 / RM8,000.00
Tempat Keempat: RM6,000.00 / -
Tempat Kelima: RM6,000.00 / -
Saguhati COB (Bagi Juara): RM3,000.00/RM3,000.00

HADIAH PENJIMATAN AIR PANGSAPURI
Tempat Pertama: RM8,000.00
Tempat Kedua: RM7,000.00
Tempat Ketiga: RM6,000.00
Saguhati JMB (Tertinggi Setiap PBT): RM1,000.00

Diharap melalui program Sambutan Pangsapuri Malaysia Harmoni Selangorku 2016 berkenaan mampu meningkatkan semangat cintakan pangsapuri serta memberi peluang kepada komuniti pangsapuri Malaysia amnya dan rakyat Selangor khususnya tanpa mengira kaum bersama-sama dan bersedia dalam membangunkan komuniti serta Negeri Selangor menuju ke arah gagasan Smart State.

Datuk Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor
18 Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 18/10/2016

Share on Myspace