Masih mampu urus negeri walau hasil terhad

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Biarpun sebagai sebuah negeri kecil dan punca hasil terhad, namun masih mampu mengurus kerajaan sehingga sekarang, kata Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata, ramai tidak percaya kemampuan kerajaan negeri mengurus kewangan dengan punca hasil yang agak terhad.

“Kita tidak mempunyai pelabuhan, lebuh raya dan lapangan terbang bertaraf antarabangsa bagi menarik lebih ramai pelabur.

“Namun kita masih mampu mengurus negeri dengan baik. Inilah apa yang dinamakan keberkatan,” katanya ketika ditemui di sini.

Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah hari ini dilapor berkata, kerajaan Kelantan perlu mendesak Putrajaya meminda perlembagaan berkaitan hasil pendapatan negeri.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak mempunyai punca pendapatan lain selain daripada pembalakan.

Menteri Besar berkata kerajaan negeri sentiasa berusaha menambah jumlah hasil termasuk melalui royalti mineral terutamanya galian emas.

“Dengan ada projek perlombongan emas oleh syarikat CNMC di Sokor, Tanah Merah yang dilakukan secara hard rock, insya Allah kita menjangka dapat meningkatkan jumlah hasil negeri,” ujarnya.

Beliau juga berkata sehingga sekarang kerajaan negeri tiada masalah bagi mengurus dan membangunkan negeri dengan kemampuan kewangan yang ada.

“Kita mengurus secara berhemah. Kita pastikan kemasukan hasil dan perbelanjaan dapat diseimbangkan,” katanya. - HARAKAHDAILY 18/10/2016

Share on Myspace