GST 'selamatkan' ekonomi negara, bebankan rakyat

HARAKAHDAILY | .

 

GST FORMULA ‘SELAMATKAN’ EKONOMI NEGARA DENGAN BEBANKAN EKONOMI RAKYAT

Saya tidak bersetuju kenyataan YAB Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan di Dewan Rakyat, kelmarin yang mengatakan bahawa ekonomi negara akan lumpuh tanpa GST.

Selepas harga komoditi minyak dan nilai Ringgit mengalami kejatuhan, keputusan yang dibuat kerajaan untuk bergantung kepada hasil GST menunjukkan kerajaan sendiri tidak kreatif dan inovatif dalam menyelesaikan masalah dan cabaran ini.

PAS telah berulang kali dan secara tegas membantah pelaksanaan GST ini kerana:

(i) cukai yang dikutip berasaskan perbelanjaan tanpa membezakan kemampuan kewangan seseorang – termasuk golongan miskin dan miskin tegar juga tidak berkecuali daripada membayarnya – adalah bertentangan dengan prinsip Islam, dan

(ii) ia mengakibatkan orang awam menanggung kos sara hidup yang tinggi disebabkan oleh peningkatan harga pelbagai barangan dan perkhidmatan.

PAS di dalam Dokumen Hijau mencadangkan agar hasil pendapatan negara ditampung dengan:

(i) cukai atas simpanan syarikat dan korporat, dan

(ii) cukai atas keuntungan perdagangan saham.

Pelaksanaan kedua-dua cukai ini dijangkakan akan mendatangkan hasil pendapatan sebanyak RM51.5 bilion berbanding hanya RM39 bilion dengan GST.

Percukaian seperti ini dilihat lebih berkesan dan mampan untuk menyelesaikan masalah kekurangan hasil pendapatan negara sekali gus dapat merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin serta meningkatkan kemampuan perbelanjaan dan kekuatan modal golongan B40 berbanding GST yang merupakan formula membebankan ekonomi rakyat dan adalah mustahil ekonomi negara akan selamat dengan melaksanakan apa yang diharamkan oleh Allah.

“Inilah Penyelesaian Kita”

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 19/10/2016

Share on Myspace