GST: Utusan fitnah Presiden PAS

IZWAN ABDUL HALIM | .

TERDESAK sekali Utusan Malaysia (edisi Rabu, 19 Oktober 2016) apabila menggunakan pengaruh Presiden PAS untuk mendoktrin secara paksa penerimaan awam terhadap GST. Akhbar milik pemuka-pemuka Umno itu rupanya sejak sekian lama terkial-kial mencari 'booster' setelah para pemimpin BN gagal menterjemahkan segala ampuan mereka mengenai GST. Sedangkan, kebusukan bangkai GST tidak mampu ditutup dengan pelbagai kesannya ke atas ekonomi negara dan rutin perbelanjaan rakyat yang kian tercekik.

Lalu, batang tubuh diri seorang ulama yang selalu dihina rejim mereka selama ini dijadikan sandaran mewangi untuk melindungi kebobrokan daripada pelaksanaan GST. Jahatnya, imej Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang digunakan secara manipulasi, fitnah dan rekayasa. Utusan cuba 'mengkambing hitamkan' dengan menyiarkan kononnya Tuan Guru sebagai Ahli Parlimen Marang telah berkata:

“GST merupakan cara paling berkesan untuk meningkatkan ekonomi negara. Adakah kerajaan mempunyai kaedah untuk mengesan peniaga yang cuba lari daripada membayar cukai ini atau mungkin kerajaan ada alternatif lain bagi menggantikan GST.”

Kata-kata itu dakwa Utusan dipetik dari soalan tambahan pada sesi Jawapan-Jawapan Lisan Bagi Pertanyaan-Pertanyaan, Dewan Rakyat, Parlimen Ketiga Belas, penggal Keempat, Mesyuarat Ketiga, pagi Selasa 18 Oktober 2016.

Sekali gus ia diulas dalam laporan pemberitaan Utusan sebagai perakuan oleh Presiden PAS bahawa GST adalah paling berkesan untuk tingkatkan ekonomi negara. Walhal, Tuan Guru dalam soalan tambahannya mengutarakan pertanyaan seperti berikut:

"Tan Sri Yang Di-Pertua, soalan tambahan saya, GST merupakan percukaian murah oleh kerajaan, khusus terhadap mereka yang melarikan diri daripada cukai, cara yang berkesan tanpa dinafikan. Namun pun di sana ada impak Yang Berhormat sebut, dan kesan negatifnya ialah inflasi yang menjadi bebanan kepada rakyat awam, khususnya dalam barang-barang yang disebutkan tadi, masih ada sungutan-sungutan nilai mata wang, ini juga membebankan pelajar kita di luar negara yang ke luar negara, sungutan itu banyak, sejauh mana langkah-langkah kerajaan dan penilaian terhadap keberkesanan daripada langkah-langkah itu dan adakah kerajaan berfikir untuk mengadakan alternatif yang lain sekiranya ada? Terima kasih."

Secara bandingan, terang nyata bahawa pada setiap penggunaan susunan perkataan dan ayat, maksud dan tujuan diterbitkan Utusan jauh berbeza dari diungkap sebut oleh Presiden PAS. Malah, ia direkodkan dalam hansard yang menjadi dokumen rasmi sidang Dewan Rakyat. Malah, terlebih dahulu sebelum itu, Ahli Parlimen Marang mengemukakan soalan sebagaimana berikut:

"Minta MENTERI KEWANGAN menyatakan sejauh mana hasrat kerajaan untuk membatalkan cukai GST yang dikenakan kepada rakyat tidak mengira kaya atau miskin dan mengambil mekanisma lain yang lebih adil, saksama dan tidak membebankan rakyat.

Ternyata ia secara tersurat dan tersirat merupakan pertanyaan, persoalan, pertikaian, penolakan dan pengajuan kepada kaedah lain dari GST yang dirujuk Tuan Guru sebagai masalah, bebanan serta berimpak negatif.

Malah, pendirian PAS ke atas GST yang menjadi salah satu cukai dikuatkuasakan ke atas semua rakyat adalah berasaskan hukum agama, bukannya keputusan politik.

Maka silapnya Utusan adalah mendakwanya ke atas PAS khususnya kepada Presiden PAS sesuatu yang bercanggah dan tidak mungkin dikompromi kerana hak hukum-hakam agama adalah milik Allah.

Pemberitaan tersebut bukan sahaja menconteng wibawa kebenaran dan ketepatan profesionalisme dunia kewartawanan, tetapi satu pembohongan dan kejahatan. Pada sebaliknya, ia boleh ditafsir dengan motif mencalar, memburuk serta menjatuhkan reputasi Presiden PAS secara fitnah.

Ia boleh dipertimbangkan untuk dibawa kepada tindakan teladan menerusi undang-undang yang ada atau Utusan kembali menyedari keghairahan itu dengan mengemukakan permohonan maaf. – HARAKAHDAILY 19/10/2016

Share on Myspace