Pindaan RUU Akta 355: Shafie Apdal perlu fikir jauh

HARAKAHDAILY | .

KENYATAAN penolakan atau tidak undi menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta 355 yang telah dinyatakan oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal iaitu Presiden parti baru di Sabah, Parti Warisan Sabah (PWS) perlu difikirkan semula oleh beliau untuk mengubah pandang sisi terhadap kepentingan menaiktaraf sistem Mahkamah Syariah melalui pindaan tersebut.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal perlu memahami bahawa para mufti dan beberapa agensi agama secara sebulat suara meminta agar setiap Ahli Parlimen Islam untuk menyokong pindaan akta ini dan ia perlu diterjemahkan tindakan ke atas perkara ini di dalam Parlimen Malaysia.

Ahli Parlimen di Sabah dan Sarawak perlu mengimbau sejarah berkaitan Akta 355 ini kerana ia diluluskan pada 1965 apabila dibentang oleh Ahli Parlimen dari Sarawak, Tun Rahman Ya'kub pada ketika itu. Manakala, pindaan pertama pada tahun 1984, akta ini telah diluluskan dan disokong oleh Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak.

Sekalipun Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berusaha menangkis punca menolak RUU Pindaan Akta 355 ini dan memilih jawapan kerana ingin fokus mengenai kepentingan masyarakat di Sabah, maka itu bukanlah jawapan yang tepat kerana RUU Pindaan Akta 355 ini juga menjadi suatu yang penting di dalam kalangan masyarakat Bumiputera Islam di Sabah.

Jangan jadikan rakyat sebagai alasan menolak pindaan ini sedangkan hakikatnya para ahli politik menggunakan rakyat utk kepentingan politik kepartian semata-mata.

Sebenarnya, tiada sebab yang ampuh untuk Ahli Parlimen Islam di Sabah menolak RUU Pindaan Akta 355 melainkan kerana terpengaruh dengan persepsi yang dangkal selain meneruskan warisan Umno yang lebih meminggirkan kepentingan agama berbanding politik dalam situasi di Sabah. Pendirian Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga perlu berbeza dengan Ahli Parlimen BN Sarawak yang terang-terangan menolak kerana Parti Warisan Sabah (PWS) bukanlah tertakluk kepada mana-mana pihak apatah lagi sebagai ahli komponen Barisan Nasional.
 
Justeru, Dewan Pemuda PAS Sabah melalui Gagasan Sejahtera akan terus berusaha agar RUU Pindaan Akta 355 ini terus dimartabatkan untuk mengupayakan kepentingan Bumiputera Islam dan umat Islam secara seluruhnya.

Pemuda PAS bersedia untuk memberikan penerangan dan berdialog bersama para pimpinan yang berjiwa besar untuk melihat keharmonian di dalam negara ini dan semoga Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dapat berfikir semula secara bebas sebagai salah seorang Ahli Parlimen Islam di Sabah untuk menyokong secara tuntas RUU Pindaan Akta 355 ini.

ZULZAIM HILMEE ABIDIN
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah (DPPNS), Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) – HARAKAHDAILY 19/10/2016

Share on Myspace