Beban GST: Anak muda dibayangi 5K

HARAKAHDAILY | .

KEPERITAN rakyat menempuh hidup seharian sejak dilaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) semakin menampakkan bibit-bibit kegawatan dipengaruhi juga situasi semasa ekonomi dunia. Jika langkah pemansuhan GST tidak dilaksanakan segera, tidak mustahil kesannya meruncing lebih buruk akan dilihat ke atas negara beberapa tahun akan datang.

Asasnya, sebagaimana diakui sendiri Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak bahawa permintaan domestik adalah acuan ekonomi paling penting. Perlu dilihat, anak muda adalah golongan paling terjebak dalam kitaran ganas kesan pelaksanaan GST.

Secara umum, rata-rata golongan anak muda hari ini mempunyai komitmen terhadap 5K.

Pertama; kerjaya, ia adalah punca kuasa anak muda. Kerjaya anak muda adalah sumbangan dan masa depan kepada negara. Tanpa 'kegemilangan' kerjaya iaitu yang sesuai dengan kemampuannya, negara telah meletakkan situasi masa depan dalam keadaan ketidakpastian.

Namun, yang terjadi kini bukan sahaja kerjaya sukar diperoleh dan menyumbang pengangguran, tetapi berlaku juga pemberhentian ramai seperti kes syarikat Naza Kia, MAS, Petronas dan lain-lain. Tanpa kerjaya sebagai punca pendapatan, sesiapapun lumpuh.

Kedua kahwin, di mana usia anak muda adalah waktu memulakan hidup. 'Kestabilan' rumah tangga adalah aspek permulaan terpenting yang mempengaruhi sosial masyarakat seterusnya negara. Malangnya ketika ini, untuk tujuan tersebut sukar oleh banyak faktor terutama perbelanjaan yang telah banyak berubah akibat GST dengan peningkatan kos harga barang.

Ketiga; kenderaan, perkara yang menjadi 'kemudahan' terhadap aktifnya anak muda, walaupun diakui terdapat mereka lainnya berlebih-lebihan. Tetapi dikesali, penurunan harga kereta yang pernah dijanjikan 'indah khabar dari rupa', selain realiti kos penyelenggaraan. Lebih menekan apabila tambang pengangkutan awam dinaikkan.

Keempat; ialah kediaman sebagai 'keperluan' dalam memulakan kehidupan keluarga. Letihnya, apabila harga kediaman hari ini menjadi mainan kapitalis hingga ia hanya 'mampu lihat'. Pasangan anak muda dengan kerjaya baik pun hanya mampu menyewa. Apakah mereka akan merempat di negara sendiri 10 tahun akan datang?

Kelima; anak-anak iaitu zuriat yang menjadi dorongan 'kegembiraan'. Pun begitu, banyak diragut oleh kos wajib berkaitan seperti susu, lampin, pengasuhan dan pendidikan awal yang agak mahal.

Jika diamati, semuanya berkaitan 2K iaitu kehidupan dan kewangan di mana sebahagian besarnya berputar dalam lingkaran berganda kesan dari GST. Ia merenjat tidak sedikit poket anak muda, bahkan menggugat banyak kestabilan.

Ketika kerajaan mengaut perolehan GST daripada poket rakyat, percayalah di sana membenihnya permasalahan ke atas rakyat yang suatu masa membesar menjadi krisis negara. Cukup dilihat dalam kek pembahagian kekayaan negara yang banyak tertumpu pada pembangunan tertentu dengan membawa faedah hanya kepada lingkaran khusus.

Sedangkan, jumlah perolehan tahunan daripada GST boleh dihapuskan terus sekiranya kerajaan mengamalkan pengurusan telus, cekap dan saksama tanpa isu-isu bengit skandal pemborosan, ketirisan dan rasuah. Semuanya barah yang sangat dibenci dalam kalangan anak muda kini.

USTAZ NURUL AMIN ABDUL HAMID
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah – HARAKAHDAILY 20/10/2016

Share on Myspace