Bajet 2017, PAS kemuka Dokumen Hijau

M AZWANI ABD RANI | .

SEMUA pihak sedar masalah ekonomi yang melanda dunia. Bahkan di Malaysia, impak kemerosotan harga minyak, peningkatan pengangguran khasnya dalam segmen kerja minyak dan gas, ringgit menjunam, hilang subsidi, rasuah 2.6 Billion, menekan terus-terusan rakyat negara ini. Berlumba-lumba semua pihak menampilkan solusi masing.

Sementara menanti pembentangan Bajet 2017 oleh kerajaan Barisan Nasional, Pakatan Harapan turut menampilkan penyelesaian ekonomi. PAS terlebih dahulu telah mengeluarkan Dokumen Hijau: Gagasan PAS Dalam Menyelesaikan Permasalahan Ekonomi Negara.
 
Dalam mana-mana dokumen penyelesaian, semua lebih gemar menggunakan kerangka asas sistem ekonomi berdasar akal manusia. Penyelesaian masih tidak mahu meletakkan dasar asas panduannya pada agama. Kenapa sentimen agama harus diasing daripada sudut kehidupan terus diamalkan?  Bukankah Islam itu cara hidup yang sempurna? Malah  lebih malang lagi, ada pihak merasakan sistem sekular atau liberal lebih baik dari Islam.
 
Di Malaysia, PAS terus istiqamah, dalam setiap aspek kehidupan masyarakat majmuk ini, dengan asas dan dasar perjuangannya ialah Islam sebagai cara hidup. Ramai orang menyindir PAS, terlalu taksub pada RUU355 dan Hudud. Benarkah sebegitu rupa?
 
Carilah seluruh ceruk rantau di Malaysia, anda pasti bertemu sistem pendidikan berteraskan Islam. Di sana sini, ada PASTI, ditambah SRITI, Maahad Tahfiz Sains dan Kolej Universiti Islam. Semuanya kelolaan PAS.

Sementara itu fenomena air pasang besar menjadi kebimbangan semua pihak, malah geng Baju Merah Pak Jamal pun terus bertindak mempertahankan restorannya. Banjir di sana sini, pastinya, antara wira tidak didendang ialah Unit Amal yang dioperasikan oleh Pemuda PAS.

Malah, tahniah buat PAS Pahang yang terus membantu program Nikah Perdana yang kini diikuti ramai pihak. Bimbang saya jika ikut kata pihak yang mahu PAS Pahang keluar negeri, kemana lagi pasangan baru hendak memilih cara pernikahan secara Islamik lagi. Itu belum lagi ditambah program Lajnah Ekonomi dan Lajnah Kebajikan yang berterusan ke ceruk pendalaman sama ada dalam konteks Siasah atau Dakwah.

Bukankah dari contoh yang sebegini banyak, ia menjadi bukti kerja buat PAS bukan sekadar RUU 355 malah lebih luas dan banyak atas kerangka Islam. Semua contoh perlaksanaan PAS itu asasnya  adalah dari kerangka Islam yang amat sempurna. PAS mahu memberikan maklumat bahawa Islam itu sempurna dan wajib menjadi panduan semua. Jangan takut mempromosi Islam sebagai cara hidup.
 
Untuk belanjawan negara kelak, pilihlah cara Islam. Laksanakan Islam, yakinlah Islam penyelesaian masalah rasuah negara.

Dokumen Hijau PAS berlandaskan Islam boleh dijadikan panduan. Jangan tinggalkan Islam di luar pagar Putrajaya semata-mata ingin  berkuasa.

Penulis ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak – HARAKAHDAILY 20/10/2016

Share on Myspace