Perkembangan projek Hospital Pengajar Unisza

HARAKAHDAILY | .

Perkembangan projek Hospital Pengajar Unisza dan apa khabar Hospital Dungun?

Dalam Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan hari ini di Dewan Rakyat, soalan saya tentang perkembangan semasa projek pembinaan Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) telah dijawab oleh Menteri Pendidikan dengan beberapa fakta berikut:

a.    Pembinaan projek baru sahaja bermula pada 21 Mac 2016.

b.    Setakat 6 Oktober 2016 kerja-kerja penambakan tanah mencapai 22%.

c.    Ia dijangka siap pada 15 September 2019.

d.    Kelulusan projek untuk menampung keperluan 400 katil.

e.    Fasa 1, melibatkan pembinaan 200 buah katil termasuk kerja-kerja infrastruktur dengan kos 330 juta.

f.    Fasa 2 melibatkan pembinaan kapasiti 200 buah katil dengan kos RM225 juta.

Dalam ruangan soalan tambahan di Parlimen, saya telah menyatakan kebimbangan saya projek ini senasib dengan projek Lebuh Raya Pantai Timur 2 yang tertangguh disiapkan dari jangkaan asal tahun 2010 ke tahun 2014 dan akhir sekali baru sahaja siap pada Januari 2016. Rujuk: http://arkib.harakahdaily.net/arkibharakah/index.php/arkib/berita/lama/2014/4/59017/lpt2-tertangguh-lagi.html

Hal ini kerana cadangan pembinaan projek hospital ini telah berlarutan begitu panjang sejak 2012. Berikut adalah kronologi yang sempat saya catatkan:

1.    Oktober 2012; Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled mengumumkan projek telah dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan dan dijangka siap pada 2015.

2.    September 2014; Majlis pecah tanah bagi pelaksanaan projek disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri.

3.    November 2015; Naib Canselor Unisza mengumumkan projek ini dijangka siap akhir 2017.

4.    Februari 2016; Naib Canselor Unisza mengumumkan projek akan bermula pada Jun 2016 dan dijangka siap pada akhir 2018.

5.    20 Oktober 2016; Menteri Pendidikan menjawab di Parlimen bahawa projek dijangka siap pada 15 September 2019.

Kebimbangan saya sangat berasas kerana tarikh dijangka siap sentiasa tertangguh dan berubah. Itulah yang berlaku kepada projek LPT 2 sebelum ini.

Saya berharap dalam pertanyaan saya akan datang di Parlimen tarikhnya tidak akan berubah pula ke tahun 2020. Begitu juga dengan kos projek yang hari ini disebut sebanyak RM555 juta keseluruhannya melibatkan 2 fasa diharap tidak akan berubah.

Hospital Unisza sangat penting bagi keperluan masyarakat khususnya di Daerah Kuala Nerus yang penduduknya hari ini melebihi 200,000 orang penduduk. Hari ini pergantungan mereka ialah kepada Hospital Sultanah Nur Zahirah di bandar Kuala Terengganu yang semakin sesak dengan pesakit.

Menurut rekod terakhir 2013, Terengganu dengan kapasiti penduduk 1.1 juta hanya mempunyai 6 buah hospital dengan 1372 katil berbanding Kelantan dengan populasi penduduk 1.7 juta mempunyai 10 hospital dengan 2487 katil. Rujuk : http://www.rurallink.gov.my/wp-content/uploads/2015/05/1-DATA-ASAS-MALAYSIA1.pdf

Perdana Menteri pada September 2014, dalam ucapan ketika majlis pecah tanah  memperakui  bilangan katil kepada populasi Terengganu kini adalah 1:837 berbanding nisbah Lembah Klang 1:232, Pulau Pinang 1:349, Johor 1:473 dan nisbah kebangsaan 1:496 manakala WHO menetapkan nisbah 1:400. Maksudnya, bilangan katil di Terengganu adalah di bawah nisbah kebangsaan dan nisbah WHO.

Menurut kiraan saya dengan penambahan kapasiti 400 katil di Hospital Unisza ini akan datang nisbah bilangan katil kepada populasi rakyat Terengganu baru sekitar 1:600 dan masih lagi di bawah nisbah kebangsaan dan nisbah WHO.

Rakyat Terengganu masih ternanti-nanti khabar berita projek Hospital Dungun yang masih belum kelihatan anak bulannya walaupun telah diumumkan dalam Bajet 2015, dan juga menanti pula bagaikan pungguk menantikan bulan kehadiran Hospital Kemaman di Kijal sebagai diumumkan dalam Bajet 2016.

Projek Universiti Pengajar juga sangat kritikal bagi melengkapkan proses penyampaian pengajaran dan pembelajaran semasa latihan klinikal sebagaimana yang ditetapkan oleh Malaysia Quality Assurance (MQA). Sekarang ini Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menjadi tempat latihan klinikal terutama pelajar Program Sarjana Muda Perubatan & Pembedahan (MBBS) Unisza, selain turut dikongsi bersama Kolej Islam Sains dan Teknologi dan Kolej Universiti Antarabangsa Sedaya (UCSI).

Saya mendoakan agar projek ini berjaya disiapkan segera pada waktunya insyallah.

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Khamis 20hb Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 20/10/2016

Share on Myspace