Kelantan warta kawasan khas demi kebajikan orang asal

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU:  Kerajaan Kelantan telah meluluskan seluas 3,885,39 hektar tanah sebagai rizab Orang Asli dalam Jajahan Gua Musang dan Jeli.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, berkata bukan itu sahaja 1,647,29 hektar juga sudah diwartakan, manakala 2,238 dalam proses untuk diluluskan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco, di Kota Darulnaim, di sini semalam.

Menurut Datuk Mohd Amar lagi, kerajaan negeri turut menerima cadangan untuk mewartakan 973 hektar lagi kawasan di Pos Gob untuk dijadikan zon rizab golongan itu.

Lebih menarik lagi, menurut Amar kerajaan negeri dalam perancangan untuk menjadikan Gunung Chamah, Gua Musang sebagai kawasan rayau bagi masyarakat itu.

Tambahnya, kawasan ini seluas 20,000 hektar yang disediakan untuk masyarakat terbabit berburu atau aktiviti sesuai.

Beliau seterusnya memberitahu, projek itu dicadangkan oleh Jabatan Perhutanan sewaktu pentadbiran Almarhum Tuan Guru lagi.

Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan kerajaan negeri tidak menjaga kebajikan masyarakat berkenaan.

Jelasnya, ia hanya tuduhan tidak sihat demi kepentingan tertentu di samping berhasrat memburukkan imej kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 20/10/2016

Share on Myspace