Tiada soalan daripada wakil PAN dalam Dun Kelantan

MUHAMMAD ARIF ISMAIL | .

KOTA BHARU: Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat dan Pemilihan Dewan Undangan Negeri (Dun) tidak menerima soalan daripada wakil Parti Amanah Negara (PAN).

Speaker Dun, Datuk Abdullah Ya'kub berkata, hingga kini Adun Salor, Datuk Husam Musa gagal mengemukakan soalan berkaitan sama ada bertulis mahupun lisan.

"Setakat ini kami tidak terima soalan bertulis atau lisan Adun Salor, tidak ada," kata beliau pada sidang media di Kediaman Menteri Besar di sini.

Menurutnya, Persidangan yang bakal bermula pada 24 hingga 27 Oktober itu bakal membahaskan dua Rang Undang-undang (RUU) berkaitan perbekalan.

Ia seperti RUU Perbekalan Tambahan Ke Dua bagi tahun 2016 dan RUU Perbekalan bagi tahun 2017 yang bakal dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Katanya lagi, pada sidang kali ini pihaknya menerima 10 soalan bertulis, dua dari pihak kerajaan PAS dan lapan lagi dari pihak pembangkang, Barisan Nasional (BN).

Manakala jawapan lisan pula, Speaker Dun itu berkata, menerima dari 23 soalan yang terdiri daripada 15 PAS dan lapan BN berkaitan pelbagai isu.

"Isu yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan merupakan bukan isu yang kontroversi," katanya ketika diminta mengulas perkembangan semasa di negeri itu.

Katanya, beliau memberi peluang kepada semua Adun untuk membuat perbahasan mengenai belanjawan negeri dan sembah tahniah kepada Sultan Kelantan.

"Saya akan membuat menyembah tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mengenai pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong," katanya. – HARAKAHDAILY 20/10/2016

Share on Myspace