Sekatan didalangi NGO malukan Orang Asal

ASLANI M | .

GUA MUSANG: Tindakan segelintir masyarakat Orang Asal mengadakan sekatan jalan berhampiran Pos Gob tidak disenangi sebahagian besar kaum terbabit.

Mereka menyifatkan tidakan menyekat laluan lori balak menyusahkan masyarakat terbabit untuk keluar ke Kuala Betis.

Tindakan tersebut yang dipercayai didalangi NGO dari luar Kelantan juga turut menyusahkan pelbagai pihak lain.

Tindakan segelintir masyarakat Orang Asal tersebut turut merencatkan industri pembalakan.

Difahamkan empat syarikat yang mendapat lesen pembalakan daripada Jabatan Perhutanan tidak dapat melakukan aktiviti pembalakan.

Penghulu Pos Gob Leman Alang berkata tindakan segelintir masyarakat Orang Asal itu yang didalangi sebuah NGO luar telah menyusahkan orang ramai.

Beliau mendakwa NGO Jaringan Orang Asal yang berasal dari luar Kelantan dipercayai mempengaruhi penduduk tempatan mengadakan sekatan terbabit.

"Sekatan yang mereka lakukan banyak menyusahkan orang ramai untuk keluar ke Kuala Betis.

"Orang yang melalui sekatan mereka diarah menunjukkan kad pengenalan dan ditulis nama.

"Kalau kita tidak beri kerjasama mereka dibimbangi boleh bertindak liar kerana bilangan mereka juga agak ramai," katanya ketika ditemui di sini.

Penghulu Pos Rekom Abu Along berkata NGO berkenaan juga cuba mempengaruhi penduduk di kampungnya namun tidak ada yang mengikut mereka.

Katanya kumpulan terbabit mencatat maklumat peribadi orang ramai yang melalui sekatan yang mereka adakan.

"Amat menyusahkan. Saya ingat seperti zaman darurat yang mereka lakukan terhadap Orang Asal yang tidak menyokong tindakan NGO terbabit," ujarnya.

Pemimpin veteran masyarakat Orang Asal Gua Musang Ajom Alang berkata tindakan NGO terbabit dan segelintir kaum terbabit begitu memalukan.

Katanya tidak pernah lagi kejadian sekatan laluan seperti berlaku sebelum ini.

Katanya pihak berkuasa perlu bertindak segera meroboh sekatan di Pos Gob kerana menyusahkan orang ramai. – HARAKAHDAILY 21/10/2016

Share on Myspace