R minta Kelantan mohon semak akaun Petronas

RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: Pertubuhan Royalti  (R) Kelantan mencadangkan kerajaan negeri menghantar surat kepada Ketua Audit Negara, untuk meminta menyemak akaun Kerajaan Persekutuan, bagi akaun Petronas dan Jabatan Kastam.
 
Presidennya, Nazri Deraman berkata, di bawah Akta Audit 1957, Jabatan Audit Negara wajib mengaudit akaun berkenaan apabila mendapat arahan dan permintaan dari mana-mana kerajaan negeri termasuk Kelantan.
 
“R berharap Ketua Audit Negara dapat menjalankan urusan audit secara profesional mengikut Standard Operation Procedure (SOP).
 
“Hasilnya perlu dikemukakan untuk mendapat pandangan kerajaan negeri yang mengemukakan permohonan itu,” katanya.
 
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan memorandum berkaitan perkara itu kepada kerajaan negeri selepas mesyuarat exco semalam.
 
Memorandum itu diserahkan kepada Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, di Kota Darulnaim.
 
“R juga mengharapkan beberapa perkara perlu diminta perhatian serius dari Ketua Audit Negara, antaranya adakah benar Petronas menjelaskan bayaran tunai (royalti) sebanyak lima peratus daripada pengeluaran petroleum.
 
“Sepatutnya bayaran itu diberikan pada kerajaan negeri, sebaliknya kami mendapat maklum ia tidak diterima oleh kerajaan negeri,”ujarnya.
 
 “Jika ia berlaku seperti pengakuan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas dalam sebuah akhbar 30 november 2012, maka telah wujud  pecah amanah.
 
“Pada masa yang sama juga ia telah melanggar perjanjian sebagaimana yang telah ditandatangani antara  Petronas dan kerajaan negeri  pada 9 Mei 1975,”ujarnya.
 
Tambah Nazri lagi, sepatutnya lima peratus bayaran tunai tersebut tidak boleh diwakili oleh mana-mana entiti atau melalui pihak lain kecuali  Kelantan.
 
Sehubungan itu R mencadangkan siasatan menyeluruh terhadap proses bayaran Wang Ehsan sekiranya terdapat di dalam pembentangan Belanjawan Negara di Parlimen.
 
Katanya, jika Wang Ehsan tersebut tidak terdapat di dalam pembentangan belanjawan, ini bermakna satu lagi pecah amanah di bawah Tatacara Kewangan 1957.
 
Sedangkan, kata Nazri setiap perbelanjaan Persekutuan perlu mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
 
Katanya, perbelanjaan itu perlu melalui proses pembentangan Belanjawan tahunan atau Belanjawan Tambahan.
 
Pada masa yang sama R turut mempersoalkan adakah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP)  Kelantan  organisasi sah mengikut Perlembagaan Persekutuan untuk menguruskan kewangan negara melalui Wang Ehsan. – HARAKAHDAILY 21/10/2016

Share on Myspace