Fitnah tidak halang PAS pertahan Kelantan

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Biarpun berdepan fitnah bagi menjatuhkan kepemimpinan ulama yang mentadbir kerajaan negeri, namun Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob yakin dapat mempertahankan Kelantan pada pilihan raya umum akan datang.

Menteri Besar Kelantan berkata kerajaan negeri masih mampu dikendalikan dengan baik biarpun berdepan dengan fitnah.

“Pelbagai fitnah dilemparkan terhadap kerajaan negeri sekarang. Fitnah itu diumpamakan sebagai menggerakkan binatang yang sedang tidur.

“Biarpun ombak besar dan angin kencang melanda namun gandingan mantap bersama Timbalan Menteri Besar dan anggota-anggota Exco membolehkan cabaran itu diharungi,” katanya pada sambutan ulangtahun ke-16 Membangun Bersama Islam di Medan Ilmu di sini hari ini.

Hadir sama Mursyidul Am PAS Tuan Guru Hashim Jassin, Penasihat Undang-undang Negeri Datuk Shahidani Abdul Aziz, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan.

Sambutan hari ini bermula dengan solat hajat diimamkan Bendahari Dewan Ulama PAS Kelantan Ustaz Nik Razi Nik Mat, kemudian kuliah disampaikan Ustaz Dasuki Abdul Rani.

Ustaz Ahmad juga mengakui berdepan pelbagai cabaran selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan Kelantan pada 6 Mei 2013.

“Pada 3 Mei lepas genaplah tiga tahun saya dilantik sebagai ketua kerajaan. Saya mengamalkan pentadbiran secara kolektif atau syura selepas menggantikan Tok Guru.

“Sekarang apa sahaja keputusan dibuat secara syura. Ini dapat memastikan keputusan dibuat lebih mantap,” ujarnya.

Oleh itu beliau berharap kerajaan negeri yang diterajuinya sekarang dapat mengharungi badai dan dapat mendarat dengan tenang untuk terus mempertahankan Kelantan pada PRU ke-14.

Pada program itu juga Menteri Besar menyampaikan sumbangan kepada 26 pusat pengajian pondok yang terdapat di Kelantan.

Manakala 26 anak muda pelbagai kaum yang berusia 26 tahun pula melafaz ikrar bagi mempertahankan kerajaan Kelantan.  – HARAKAHDAILY 21/10/2016

Share on Myspace