Rakyat perlu pertahan kerajaan PAS Kelantan

MUHAMMAD ARIF ISMAIL | .

KOTA BHARU: Rakyat tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk menolak pentadbiran PAS Kelantan selagi caranya tidak bercanggah dengan nas yang termaktub al-Quran dan Sunnah.

Mursyidul 'Am PAS, Tuan Guru Hashim Jasin berkata, PAS merupakan satu-satu gerakan Islam yang mempunyai tampuk kekuasaan dalam politik khasnya di Kelantan.

Bagi beliau yang baru dilantik menggantikan dua tokoh ulama, PAS Kelantan mempunyai peluang sangat besar bagi menjadi pemimpin utama di negara ini.

"Ini penting supaya kita (PAS) memimpin rakyat tidak kira keturunan atau agama dan dapat membawa kembali rakyat kepada isi al-Quran dan Sunnah. Kita yakin ia boleh dilakukan.

"Kalau Islam didaulatkan, orang bukan Islam juga dapat menerimanya dengan baik seperti yang di buat di Kelantan dengan dasar Membangun Bersama Islam (MBI)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah sempena 26 tahun pemerintahan PAS Kelantan di Medan Ilmu Jalan Dato Pati di sini.

"Sudah terbukti pada zaman pemerintahan Umar al-Khattab iaitu pemerintahannya sampai ke Syam pada ketika itu yang kebanyakan ada penganut kristian.

"Mereka diperintah untuk membayar jizyah dan pelbagai manfaat dirasai. Bahkan terlibat untuk berperang dengan tentera rom yang seagama mereka," katanya.

Beliau berkata, usaha tersebut sememangnya sudah diterokai oleh Menteri Besar sebelumnya dan diteruskan oleh Datuk Ahmad Yakob.

"Saya tidak nampak siapa lagi selain PAS yang melakukan penerokaan awal ke arah usaha itu kerana kita ada kemampaun. Itu yang saya harap sangat," katanya.

Dalam pada itu, beliau menganggap cabaran daripada musuh tradisi, Umno di samping parti baru PAN merupakan satu perkara kecil seperti kemuncup yang melekat dikain.

Katanya, perkara yang menjadi cabaran PAS sekarang ialah bagaimana hendak mengembalikan masyarakat dalam era kini agar kembali menghayati al-Quran dan sunnah.

"Kerenah daripada Umno, PAN dan parti-parti yang sealiran mereka hanya melambatkan lagi usaha PAS bagi menzahirkan hasrat tersebut di negara ini," jelas beliau. – HARAKAHDAILY 21/10/2016

Share on Myspace