Agrofest 2016 tampil meriah, rangka ikan paus kembali

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Rangka ikan paus yang ditemui terdampar di Pulau Carey pada 2005 kembali semula ke Kuala Langat untuk dipertunjukkan kepada penduduk setempat.

Rangka ikan paus jenis 'Balaenoptera borealis’ berukuran 12.8 meter panjang dan 2.6 meter lebar itu adalah sebahagian daripada pameran yang tersenarai dalam Program Selangor Agrofest 2016 di Dataran Pantai Morib sejak semalam hingga Ahad ini.
 
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib menyasarkan lebih 50,000 pengunjung bakal membanjiri Agrofest kali ini dengan lebih RM250,000 jualan tunai diraih.

“Dengan tema [email protected], Agrofest tahun ini lebih memberikan tumpuan teknologi moden berkonsepkan fertigasi, penternakan menerusi konsep Artificial Insemination (AI), penggunaan dron dalam sektor pertanian.

“Penganjurannya juga sebagai meraikan kejayaan dan menghargai jasa petani, penternak dan nelayan di Selangor,” katanya dipetik SelangorKini.

Agrofest Selangor 2016 yang diadakan kali keenam sejak 2011 merupakan acara tahunan yang menghimpunkan gerai-gerai pameran hasil pertanian, penternakan, agrikultur, produk industri asas tani dan lain-lain yang berkait dengan pertanian.

Selain itu, pameran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor turut memberi peluang kepada pengunjung melihat sendiri pelbagai jenis ternakan dan haiwan peliharaan serta perkhidmatan klinik haiwan bergerak.

Sekurang-kurangnya lebih 100 tapak niaga disediakan khusus membantu usahawan tempatan meraih pendapatan besar menerusi jualan sejuk beku, kerepek, minuman herba dan anak-anak pokok.

Share on Myspace