PAS cadang naik taraf hospital baru Kuala Lipis

HARAKAHDAILY | .

PAS menyambut baik usaha menaiktarafkan Hospital Kuala Lipis dengan pembinaan blok baharu yang kini berlangsung.

Cadangan membina blok baharu untuk pusat hemodialisis adalah suatu berita baik dan perlu disegerakan berikutan pertambahan pesakit.

Saya sendiri pernah melawat pusat hemodialisis sedia ada dan melihat sendiri ruangnya yang terhad berbanding pesakit yang ramai.

PAS mencadangkan selain usaha membina blok untuk perkhidmatan perubatan, pihak kerajaan juga perlu mengusahakan ruang letak kereta yang mencukupi bukan sahaja untuk pelawat tetapi untuk kemudahan pesakit dan kakitangan hospital.

Pada masa ini ruang letak kereta sangat sedikit berbanding pertambahan pesakit dan pelawat sementelahan hospital ini menjadi hospital rujukan bagi zon Pahang Barat.

Untuk perkembangan jangka panjang, kami mengesyorkan kerajaan negeri mempertimbangkan menyerahkan Dataran Lipis untuk kegunaan Hospital Kuala Lipis.

Hospital ini sesungguhnya memerlukan kawasan yang lebih besar berbanding sekarang untuk perkembangan masa depannya. Antaranya keperluan letak kereta dan kuarters kakitangan.

Sebagai gantinya, pihak kerajaan boleh menyediakan tapak baharu bukan sahaja sebagai dataran malah membina stadium pelbagai guna untuk zon Pahang Barat. Tapaknya boleh dipilih sama ada di kawasan Kuala Lanar, Bandar Baru Kuala Lipis atau Padang Tengku.

Kewujudan stadium moden boleh menjadi pemangkin perkembangan pesat sosioekonomi daerah Lipis.

ROSLAN ZAINAL AL-AHMADI
Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Pahang - HARAKAHDAILY 21/10/2016

Share on Myspace