Pensijilan halal: Jangan sebar sesuatu yang tidak benar

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama' Malaysia (PUM) mengikuti perbincangan yang berlaku dalam kalangan warga Malaysia dan juga media antarabangsa yang melaporkan mengenai isu pensijilan Halal Malaysia yang melibatkan secara khusus syarikat Auntie Anne’s.
 
"Melihat kepada perkembangan yang berlaku, PUM mengambil pendirian menyokong pendekatan yang digunakan oleh Jakim dalam menangani isu ini," ujar Yang Dipertua PUM, Datuk Al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir dalam satu kenyataan.
 
Katanya, pensijilan Halal Malaysia ini adalah mengikut piawaian yang telah ditetapkan.

Tambahnya, piawaian yang diguna pakai ini dapat diterima malah turut menjadi rujukan oleh pelbagai pihak di peringkat antarabangsa.

Oleh yang demikian, kata beliau sangat wajar bagi para pemohon pensijilan Halal Malaysia agar dapat menghormati standard yang telahpun diiktiraf tersebut.
 
"Islam bukanlah bertujuan untuk menyusahkan sesiapa, bahkan ianya adalah untuk memudahkan di mana pendekatan yang digunakan dalam hal pensijilan halal ini bertepatan dengan prinsip dan tujuan syariah (Maqasid Syariah)," jelasnya.

Justeru, ujar beliau syarat-syarat dan garis panduan yang ada sudah tentu untuk memudahkan proses yang berjalan.
 
Oleh yang demikian, katanya PUM menyeru supaya syarikat-syarikat yang ingin memohon pensijilan Halal Malaysia agar dapat mematuhi piawaian, syarat-syarat dan SOP yang telah digariskan.
 
"PUM juga berharap orang ramai agar tidak mencemuh sesiapa dalam isu ini. Jangan cepat menuduh dan menyebarkan sesuatu yang tidak benar," katanya lagi. - HARAKAHDAILY 21/10/2016

Share on Myspace