Belanja berhemah tapi galak rakyat berhutang

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan selalu menyeru rakyat agar mengamalkan perbelanjaan berhemah tetapi dalam masa yang sama kerajaan juga menggalakkan rakyat berhutang.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian, Ahmad Baihaki Atiqullah di dalam Bajet 2017 yang dibentangkan hari ini kerajaan memberi kemudahan pinjaman pembelian 'smartphone' kepada penjawat awam sebanyak RM5,000.

"Kerajaan seru rakyat beli barang dengan harga berpatutan. Pada masa sama, kerajaan menggalakkan berhutang untuk beli barang mewah seperti telefon bimbit dengan harga RM5,000.                     

"Kerajaan sendiri pun tak tunjuk contoh untuk berbelanja secara berhemah," kata beliau kepada Harakahdaily.

Mengulas lanjut pembentangan bajet ini, beliau tidak menafikan tanda-tanda PRU14 semakin hampir apabila pemberian BR1M dinaikkan lagi untuk tahun hadapan.

Katanya, pemberian BR1M tidak akan berjaya menyelesaikan masalah kemiskinan kerana setiap tahun penerima BR1M semakin bertambah.

"Yang lama tak boleh selesai, tambah lagi dengan penerima baru. Macam mana kerajaan kata nak rakyat berhemah dalam berbelanja," soalnya. -  HARAKAHDAILY 21/10/2016      

Share on Myspace