Bajet 2017: Najib ambil pendekatan populis

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil pendekatan populis dengan membawa beberapa tokoh masyarakat ketika membentangkan Bajet 2017, semalam.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dr Izani Hussin berkata, tindakan itu untuk cuba berbaik dengan banyak lapisan masyarakat sebagai usaha memancing undi pada PRU14 nanti.

Di dalam pembentangan Bajet 2017 semalam, Najib telah mengundang beberapa anggota masyarakat dalam kalangan pemandu teksi, tok batin, tukang jahit, atlet paralimpik dan ramai lagi.

Katanya, ini juga termasuk memberi permit teksi individu dan geran RM5,000 untuk pembelian teksi baharu kepada pemandu teksi yang layak.

"Cuba melebar pengaruh dgn janji-janji berbentuk 'one off'. Kerajaan menjanjikan pelbagai pemberian untuk mengaburi mata rakyat bahawa ekonomi Malaysia masih utuh, tetapi hakikat sebenar adalah sebaliknya," ujar beliau kepada Harakahdaily.

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM60 juta untuk tujuan itu yang memberi manfaat kepada seramai 12,000 pemandu teksi yang layak dan tamat kontrak pajak dengan syarikat teksi mereka. - HARAKAHDAILY 22/10/2016

Share on Myspace