Graduan harus yakin keupayaan diri untuk berjaya

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar usaha penyebaran ilmu diperluaskan ke arah mengangkat martabat bangsa di negeri itu.

Titah baginda, usaha tersebut perlu digerakkan menerusi kerjasama warga pendidik khususnya di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) demi manfaat jangka panjang, lapor SelangorKini.
 
“Beta menggesa agar semua warga universiti untuk terus memberikan yang terbaik untuk masyarakat dan negara.

“Usaha menyebarkan ilmu pengetahuan dan mengangkat martabat bangsa dan negara harus diteruskan secara terancang menerusi aktiviti bersama industri dan komuniti bagi manfaat bersama.

“Kerjasama universiti dan industri berupaya meningkatkan keupayaan penyelidikan dan pengkomersilan ke tahap lebih dinamik,” titah baginda sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-40 di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Keseniaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Baginda turut bertitah agar graduan dan warga pendidik terus optimis meningkatkan keupayaan diri demi mencapai kejayaan cemerlang di masa depan.

“Tiada yang membezakan antara graduan dengan masyarakat di luar melainkan ilmu pengetahuan, kerana latar belakang dan taraf sosial bukan menjadi penghalang kepada kejayaan.

“Bahkan dengan ilmu pengetahuan yang dimiliki, graduan harus yakin dan percaya terhadap keupayaan diri untuk berjaya dan maju dengan lebih cemerlang,” titah baginda.

Share on Myspace