BR1M: Terima kasih, tetapi bukan penyelesaian

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Selangor tidak menolak pemberian "One Off" kepada rakyat, namun ia hanya merupakan satu penyelesaian jangka pendek serta tidak mampu mengatasi bebanan hidup rakyat yang kini semakin tertekan.

Pengerusi Ikatan Selangor Datuk Seri Mohamad Badri Abdul Rahman berkata, kerajaan seharusnya mengkaji lebih teliti masalah yang dihadapi rakyat terutamanya mereka yang berpendapatan rendah.

"Saya yakin melalui permohonan BR1M sudah ada maklumat yang lengkap tentang kehidupan mereka dan ia sepatutnya menjadi unjuran kerajaan dalam mengkaji langkah terbaik membantu rakyat.

"Jika kita ingin mencapai sebuah negara maju, isu rakyat berpendatan rendah perlu menjadi agenda utama, mereka perlu dibantu secara berterusan seperti kita memberi pancing untuk mereka berusaha dan bukannya memberi ikan untuk makan hanya seketika," kata beliau kepada Harakahdaily.

Jelas beliau, untuk mengambil hati rakyat, mereka tidak sepatutnya diberikan bantuan "one off" atau istilah gula-gula sebaliknya pendekatan khusus harus diberikan bagi menampung atau menambah pendapatan mereka.

"Kita boleh mengambil contoh negara-negara maju yang meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan mereka, apa yang mereka lakukan itu boleh kita jadikan contoh atau model," tambahnya.

Ikatan Selangor berharap kerajaan boleh mengkaji semula agenda mereka dalam memastikan kebajikan rakyat sebagai suatu keutamaan, ini selaras dengan prinsip "Rakyat Diutamakan".

Ikatan Selangor juga bersedia untuk duduk semeja dengan kerajaan dalam membincangkan serta mencari mekanisma baru demi kepentingan rakyat dan negara ini.

Semalam di dalam Bajet 2017 kerajaan mengumumkan kenaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) misalnya bagi isi rumah  berpendapatan RM3,000 ke bawah sebanyak RM1200, pendapatan RM3000 hingga RM4,000 daripada RM800 kepada RM900.

Begitu juga bantuan kepada individu bujang berpendapatan bawah RM2,000 adalah RM450. – HARAKAHDAILY 22/10/2016

Share on Myspace