Sejarah: TG Nik Abdul Aziz angkat sumpah MB Kelantan

HARAKAHDAILY | .

TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT ANGKAT SUMPAH MENTERI BESAR BARU KELANTAN (22 OKTOBER 1990)

PADA hari ini dalam tahun 1990, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan yang baru, setelah BN gagal mempertahankan Kerajaan Kelantan dalam Pilihan Raya Umum Kelapan pada 21 Oktober 1990.

Dengan pelantikan Menteri Besar Kelantan yang baru ini, ia telah mengembalikan semula Kerajaan Kelantan ke tangan PAS setelah ia jatuh ke tangan BN dalam Pilihan Raya Negeri Kelantan pada 12 Mac 1978. Menteri Besar Kelantan dari BN, Tan Sri Mohamed Yaacub telah memimpin Kelantan selama 12 tahun mulai 1978 hingga 1990.

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, seorang tokoh agama lulusan Darul Ulom, Deoband dan Universiti al-Azhar, Mesir adalah Adun Semut Api sejak 1986. Sebelum itu beliau merupakan Ahli Parlimen Kelantan Hilir (1967-1974) dan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa (1974-1986).

Sejak 1986, beliau dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Dun Kelantan, sebelum menjadi Ketua Kerajaan selaku Menteri Besar mulai 22 Oktober 1990. Beliau adalah Menteri Besar Kelantan yang keenam selepas merdeka mengikuti pendahulunya Ustaz Dato' Haji Ishak Lotfi Omar (1959-1964 dan 1973-1974), Dato' Mohd Asri Haji Muda (1964-1972), Dato'  Mohamad Nasir (1974-1978) dan Tan Sri Dato' Haji Mohamed Yaacub (1978-1990).

Kedudukan Kerajaan BN di Kelantan telah tergugat sejak tercetusnya krisis kepemimpinan Umno pada 1987. Kekalahan Tengku Razaliegh Hamzah dalam pemilihan Umno pada 27 April 1987 telah menyebabkan parti itu berpecah dan diharamkan oleh mahkamah.

Serpihan Umno atau Team B Umno yang dipimpin oleh Tengku Razaliegh Hamzah telah menubuhkan Semangat 46 sebelum mereka membentuk pakatan politik dengan serpihan PAS, Berjasa di bawah Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan).

PAS sendiri pada 12 Mac 1988 telah mengemukakan usul undi tidak percaya melalui Adun Banggol, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman terhadap Kerajaan BN Kelantan ekoran pengharaman Umno ini, tetapi ia tidak mendapat sokongan Adun BN yang pro Team B Umno.

Sejak akhir 1988 juga, PAS mulai membentuk persefahaman politik dengan Angkatan, di mana PAS telah diberikan hak untuk mentadbir Kelantan jika kerjasama PAS-Angkatan berjaya menguasai Kelantan.

Hasil daripada persefahaman politik yang dibentuk bersama antara PAS dengan Angkatan yang dianggotai oleh Berjasa, Semangat 46 dan Hamim, dalam Pilihan Raya Umum pada 21 Oktober 1990, gabungan politik ini berjaya menguasai Kelantan.

Persefahaman PAS-Angkatan telah menyapu bersih kesemua 13 kerusi Parlimen dan 39 kerusi Dun, di mana PAS memenangi sebanyak 24 kerusi, Semangat 46 mendapat 13, Berjasa satu dan Hamim satu (atas tiket Semangat 46).

Dengan kemenangan ini, pada 22 Oktober, Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baru. Turut mengangkat sumpah selepas itu ialah Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman (Banggol), Ustaz Idris Ahmad (Tawang), Ustaz Yahya Othman (Banggol Judah) dan Dato' Abdul Halim Mohamad (Bunut Payung) sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco).

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
22 Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 22/10/2016

Share on Myspace