UPM kukuh terajui bidang pertanian

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Universiti Putra Malaysia (UPM) kukuh menerajui bidang pertanian pendidikan di Asia Tenggara atas kejayaan penghasilan produk penyelidikan dan inovatif dalam bidang Sains Pertanian.

Kejayaan manis itu diiktiraf Thompson Reuters menerusi pengiktirafan pada kedudukan pertama di Malaysia dan Asia Tenggara dalam senarai Best Global University Ranking For Agricultural Sciences yang diterbitkan US News and World Report.
 
Menyambut baik pengiktirafan itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar inisiatif di peringkat universiti terus diluaskan di peringkat pengajian pendidikannya, lapor SelangorKini.

“Beta gembira atas usaha dan kesungguhan inisiatif dirancang UPM bukan sahaja sebagai menerajui bidang pertanian dan sekuriti makanan, tetapi juga menerajui lonjakan pendidikan tinggi negara.

“Tahniah dan syabas beta ucapkan kepada semua warga universiti,” titah baginda pada Istiadat Konvokesyen UPM ke 50 di Serdang, hari ini.

Sebelum ini, UPM mencapai tahap kedudukan ranking terbaik apabila berada pada kedudukan ke-270 universiti terbaik dunia yang dikeluarkan QS World University Ranking 2016.

Di peringkat Asia, UPM berada dalam kelompok 50 universiti terbaik, berbanding kedudukan 66 tahun lalu.

Dalam konteks ranking mengikut disiplin pertanian dan perhutanan, UPM kekal tersenarai kelompok 51 hingga 100 terbaik dunia untuk tempoh tiga tahun berturut-turut.

Share on Myspace