Bajet 2017: Langkah Umno BN hadapi PRU14

MUHAMMAD ARIF ISMAIL | .

KOTA BHARU: Bajet yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan langkah menghadapi pilihan raya umum dijangka tahun depan.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Kamaruddin Md. Nor berkata, 85 peratus dari keseluruhan bajet terhadap aspek pengurusan.

Manakala selebihnya sebanyak 15 peratus lagi terhadap perbelanjaan pembangunan yang sepatutnya diperuntukkan sebanyak 30 atau 40 peratus daripada perbelanjaan.

"Bajet mengurus ertinya bayar gaji, bayar itu, bayar ini. Sepatutnya ia sekitar 60 hingga 65 peratus mengurus, 30 hingga 45 pembangunan sepatutnya begitu.

"Ia termasuklah kenaikan duit BR1M kepada RM1,200, elauan penghulu, imam dan sebagainya, merupakan mesej jelas untuk memancing undi pilihan raya," katanya.

Menurutnya, pada bajet itu juga kerajaan tidak melakukan langkah-langkah fiskal iaitu usaha untuk merangsangkan perkembangan eknomi negara tahun hadapan.

Bahkan usaha menarik pelabur dan juga pelabur yang 'lari' ke negara lain untuk kembali ke Malaysia juga tidak ada inisiatif dalam pembentangan bajet itu.

Bercakap pada sidang media di sini, beliau turut mengecam kenyataan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Anuar Musa memperlekehkan kemampuan pembangkang mentadbir.

Katanya, Ahli Parlimen Ketereh perlu sedar bahawa di negeri Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang, Barisan Nasional (BN) ada pembangkang di negeri tersebut.

Datuk Kamaruddin berkata, kerajaan yang diketuai Umno kini sedang menghadapi krisis keyakinan rakyat selepas gagal menguruskan kewangan negara.

Katanya lagi, rakyat bermaklumat kini memerlukan sebuah kerajaan yang telus serta integriti menguruskan dana rakyat seperti yang dilakukan negeri berkenaan. – HARAKAHDAILY 22/10/2016

Share on Myspace