RUU 355: Halangan adalah sinar kejayaan

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Kita selalu mengimpikan sebuah kejayaan tanpa kesakitan dan kepayahan. Kesakitan dan kepayahan dibenci kerana ia bukanlah untuk dinikmati dalam hidup. Justeru kita sentiasa berfikir untuk menikmati kejayaan tanpa gangguan kesakitan dan kepayahan.

Tetapi kehidupan ini sunnah dan aturannya adalah berlawanan sekali. Ia tidak seperti yang kita impikan. Kisah-kisah kejayaan, apatah lagi kejayaan-kejayaan yang besar-besar selalunya sering didahului dengan hidangan kisah-kisah kesakitan dan kepayahan yang dihadapi oleh si pemilik kejayaan itu. Sakit dan payah seperti menjadi kulit luar sebelum isi dalam yang berupa kejayaan dan kemanisan dikeluarkan dan ditemukan.

Kerana itu, manusia menjadi terbiasa dengan hakikat itu. Mereka belajar melalui kehidupan. Akhirnya, lahirlah jajaran ilmu dan hikmat yang tersembunyi yang dihidangkan oleh kehidupan yang perlu difahami lebih awal oleh mereka yang berimpian untuk mengecapi kejayaan dan kemanisan hidup.

Kejayaan itu payah. Kejayaan itu usaha bersungguh-sungguh. Kejayaan itu milik pejuang. Kepayahan dan kesakitan itu agar kejayaan lebih dikecapi dan disyukuri. Kesabaran adalah kunci kejayaan. Tiada kepayahan kecuali diiringi kesenangan dan kejayaan.

Begitulah antara pengajaran dan hikmat yang tercungkil daripada kisah-kisah kejayaan manusia. Ia berlaku ke atas semua samada ianya kejayaan manusia beriman atau kufur, duniawi atau ukhrawi.

Islam dan umatnya dipenuhi kisah-kisah kejayaan yang dihiasi nilai-nilai besar kehidupan ini. Bahkan ia diselit juga dengan kisah-kisah kegagalan yang terjadi akibat kegagalan menyempurnakan sunnah dan aturan yang telah ditetapkan oleh Allah untuk kehidupan ini. Maka kita boleh menyaksikan pada kisah Islam dan umatnya itu adegan-adegan kepayahan, kesakitan, usaha, kesungguhan, perjuangan, kesabaran, air mata, keterlepasan, kebangkitan, optimis, kejayaan, kemanisan dan keunggulan.

Islam adalah untuk kejayaan hidup. Itu adalah matlamat kehadirannya di dunia daripada Tuhannya. Islam memberi kejayaan. Islam mesti berjaya. Justeru umat Islam mesti memburu kejayaan samada untuk dunia atau akhirat mereka.

Oleh kerana hidup berpasrah dengan kegagalan adalah satu jenayah dan kesalahan dalam beragama, maka secara semula jadi, kehidupan umat Islam adalah kisah usaha dan perjuangan memburu kejayaan. Ia kaya dengan sejarah dan pengalaman yang begitu bernilai di dalam memperolehi kejayaan dan keunggulan.

Islam matlamatnya adalah paling besar berbanding matlamat selainnya. Jika manusia mengimpikan dunia adalah milik mereka, Islam pula mematlamatkan dunia dan akhirat adalah milik mereka. Itulah kejayaan yang mesti dicapai.

Sudah pasti menakjubkan kerana Islam dan umatnya telah berjaya mencapai matlamat besar itu dalam sejarah dan peradabannya. Ertinya, dalam sejarah manusia, tiada umat yang paling berjaya selain umat Islam. Itu telah pun diiktiraf oleh dunia. Mereka yang insaf dan adil akan merimanya dengan jiwa yang terbuka. Ia adalah kehebatan yang sukar ditolak dan dinafikan lagi.

Tetapi, di sebalik kejayaan itu, janganlah kita lupa bahawa sunnah Allah tidak akan berubah. Ia adalah aturanNya yang berulang-ulang dan tidak boleh dilupakan sama sekali oleh umat Islam hari ini yang sedang melayari bahtera kehidupan. Ia adalah bahawa kejayaan besar adalah bermaksud kesakitan dan kepayahan yang besar yang terpaksa dilalui juga. Kejayaan besar adalah didahului kepayahan yang besar.

Umat yang mampu melepasi kesakitan dan kepedihan itu, mereka akan berjaya. Manakala umat yang gagal, mereka akan terpaksa terus menunggu pendakian seterusnya. Jika mereka berhenti, mereka gagal. Jika mereka terus bangkit berusaha, mereka akan berjaya nanti.

Begitulah kesimpulan untuk umat Islam hari ini. Usaha, kesungguhan, optimis dan kesabaran adalah kunci kejayaan. Kejayaan umat hari ini akan hanya hadir apabila segala ilmu dan hikmat kehidupan dijelmakan menjadi kenyataan yang dilihat.

Umat Islam hari ini lemah dan hina. Mereka berpecah belah dipecahkan oleh musuh luar dan dalam. Mereka senantiasa diperdaya dan ditipu kerana kejahilan dan sifat-sifat buruk dan mazmumah yang membelit dan bersarang di jiwa mereka sendiri. Mereka umat yang gagal.

Umat Islam hari ini juga adalah umat Islam yang sedang bangkit. Ia bangkit daripada kelalaian dan kegagalan. Ia sedang menghimpun kekuatan dan kudrat untuk bergerak menuju kejayaan dan kemajuan.

Ada dua kesukaran yang pasti dihadapi oleh umat Islam di seluruh dunia hari ini. Pertama, kesukaran untuk memahamkan mereka dengan Islam yang sebenar. Ini adalah kerana mereka lahir dalam persekitaran kefahaman Islam yang berbeza-beza yang dianuti umatnya. Justeru sukar sekali untuk mereka menemui Islam yang sebenar dan asli sebagaimana yang dibawa oleh al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam.

Kedua, kesukaran untuk menyatukan mereka di atas satu matlamat dan hala tuju. Ini kerana mereka sudah lama sebati dalam kelompok masing-masing dengan dakwaan kebenaran pada pihak masing-masing.

Bersatu dengan Islam yang sebenar adalah kunci kejayaan. Itu petunjuk nyata di dalam al Quran. Tanpa keduanya diusahakan, perjalanan dan perjuangan adalah gagal dan sia-sia. Ia hanya akan berputar-putar di lapangan yang sempit dan kecil.

Oleh kerana ia adalah kejayaan yang besar jika dicapai demi kemenangan umat yang diidamkan, maka kesukarannya juga adalah besar. Justeru umat Islam mestilah bersedia dengan usaha, kesungguhan, kesabaran, optimis dan tawakkal yang hebat kepada Allah.

Sebagai contoh, di negara kita, perjuangan memisahkan umat Islam daripada faham sekularisme yang merosakkan kefahaman Islam yang sebenar begitu tegang. Hasilnya umat Islam terpisah di dalam dua kumpulan yang besar iaitu Umno dan PAS. Sebahagian pula berkumpul di dalam beberapa kumpulan yang kecil yang saling berseteruan selain menolak untuk bersama dua kumpulan besar itu.

Terbaru, usaha meminda akta 355 melalui RUU Persendirian ahli Parlimen PAS yang bertujuan memperkasakan Mahkamah Syariah dilihat menjadi faktor terbaik yang sedang menyatukan umat Islam di atas jalan agama. Umno dan PAS saling menunjukkan kesungguhan untuk menjadikannya satu kenyataan dan menganggapnya sebagai satu langkah ke depan ke arah mengukuhkan Islam di dalam negara. NGO-NGO Islam juga menyatakan sokongan yang besar.

Tetapi ia bukanlah mudah. Keterujaan untuk menjaga kepentingan kumpulan dan keengganan untuk menerima kelebihan kumpulan yang bertentangan mendorong sebahagian untuk menentang secara keras manakala sebahagian yang lain cuba mencipta halangan dengan perbahasan-perbahasan teknikal yang boleh saja dibaiki pada masa akan datang dan perlu, sesyai dengan sifat sebuah undang-undang yang sering ditambah baik dari semasa ke semasa.

Penentangan ini telah menjadi hujah besar dan kekuatan kepada golongan yang anti Islam dan anti penyatuan umat Islam di dalam negara untuk menambahkan tekanan ke atas kerajaan agar menolak RUU355 yang akan dibentangkan nanti.

Saya kembalikan anda kepada butiran utama yang saya ingin tekankan. Mengembalikan umat kepada kesatuan di atas ugama yang sebenar adalah besar tetapi sukar dan penuh halangan.

PAS yang mengungguli usaha besar ini sedari awal perjuangannya mestilah tabah berhadapan segala halangan. Dengan menyempurnakan segala tuntutan sunnah dan aturan Allah, Islam dan umatnya pasti mengecapi kejayaan dan keunggulan. Ia adalah kesemulajadian agama. Selamat berjuang. - HARAKAHDAILY 23/10/2016

Share on Myspace