Bekas Adun Jabi meninggal dunia

HARAKAHDAILY | .

KUALA TERENGGANU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Ustaz Zahari Mohamad, 64, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, jam 9.25 pagi ini.

Beliau yang pernah menjadi Yang Dipertua PAS Setiu bagi sesi 1985-87 juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Besar Terengganu semasa pemerintahan PAS pada tahun 1999-2004.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Tindakan Dun Jabi, Dr Azman Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga dan sanak saudara allahyarham.

"Bagi pihak Majlis Tindakan Dun Jabi, saya rakamkan ucapan takziah dengan rasa kesedihan yang mendalam kepada seluruh keluarga dan sanak saudara Allahyarham.

"Semoga Allah mengurniakan kesabaran dan ketabahan kepada keluarga dan sanak saudara dalam menerima musibah ini," ujarnya dalam satu kenyataan ringkas.

Katanya, kepulangan Ustaz Zahari ke rahmatullah bukan sahaja kehilangan kepada kaum keluarga tetapi juga merupakan kehilangan besar kepada PAS Jabi.

Semoga Allah menempatkan beliau bersama para syuhada dan solehin.

Biodata ringkas Allahyarham Ustaz Zahari.

ZAHARI bin Mohamad dilahirkan dalam sebuah keluarga petani di Kampung Apal, Besut, Terengganu, pada 15 November 1952. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Apal dekat rumahnya (1958-1963) beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Agama Ittifakiah, Jerteh (1964-1969), sebelum menyambung lagi ke Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (SMASZA) di Batu Burok, Kuala Terengganu (1970-1973).

Atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, pemburuan pendidikan Zahari terhenti beberapa lama. Beliau hanya menyambung kembali pengajiannya pada tahun 1981, dalam jurusan Pengajian Islam, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau berjaya memperolehi ijazah Sarjana Muda pada tahun 1984.

Beliau sempat berkhidmat sebagai guru di sebuah sekolah di Terengganu selama hampir dua tahun (1984-1986), sebelum meletakkan jawatan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1986. Beliau yang mewakili PAS di Dun Jabi mengutip 2,941 undi, bagaimanapun tewas dengan 550 undi.

Pilihan Raya Umum 1990, beliau yang memperolehi 4,210 undi berjaya mengalahkan calon BN dengan majoriti 1,036 undi.

Keputusan Pilihan Raya Umum 1995 bagaimanapun amat mengejutkan banyak pihak. Ustaz Zahari yang mempertahankan Dun Jabi tewas dengan hanya 27 undi kepada calon BN.

Peristiwa tersebut bagaimanapun membuka kembali peluang bagi Ustaz Zahari untuk meneruskan perburuan ilmunya. Beliau menyambung kembali pengajiannya di UKM, di peringkat Sarjana, pada tahun 1997, dan dua tahun kemudian berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Pengajian Islam.

Pada tanggal 14 Disember 1999, iaitu kira-kira dua minggu selepas pembentukan kerajaan baru pimpinan PAS di Terengganu, Ustaz Zahari Mohamad telah dilantik menjadi Setiausaha Akhbar Kepada Menteri Besar Terengganu. - HARAKAHDAILY 23/10/2016

Share on Myspace