Bajet 2017: Harapan Kedah tenggelam

HARAKAHDAILY | .

Bajet 2017 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri adalah bukti besar bahawa projek-projek mega di Kedah adalah seperti angan-angan Mat Jenin yang hanya bergantung kepada nasib sahaja bukan suatu janji yang mesti ditepati.

Ini jelas apabila harapan yang disebut oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bahsah supaya kerajaan pusat mempertimbangkan peruntukan untuk projek mega iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) tidak tersenarai di dalam pembentangan Bajet 2017.

Sejak BN Kedah mengambil alih pentadbiran daripada kerajaan Pakatan Rakyat, janji-janji projek mega yang dicadangkan seolah-olah tidak relevan apabila terus dipinggirkan oleh Kerajaaan Pusat.

Lebih mendukacitakan pertukaran Menteri Besar Kedah nampaknya tidak memberi apa-apa keistimewaan kepada rakyat apabila suara Ahmad Bashah sendiri tidak mendapat perhatian oleh Perdana Menteri, tiada peruntukan untuk projek ikonik KXP kali ini.

Adakah janji BN Kedah ini akan terus dimainkan kepada rakyat untuk menagih sokongan dalam menghadapai pilihan raya akan datang, membiarkan rakyat terus bermimpi kewujudan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim?

Rakyat Kedah perlu meyakini di bawah pentadbiran yang amanah, berwibawa dan cekap dan tidak bergantung kepada kerajaan pusat, pembangunan terus dipacu maju sepertimana ditonjolkan oleh kecemerlangan pentadbiran oleh Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abd Razak.

Nurul Amin Hamid
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah
23 Oktober 2016 | 22 Muharam 1438 - HARAKAHDAILY 23/10/2016

Share on Myspace